Kapal tangki bawa diesel RM900,000 tanpa kebenaran ditahan

Kapal tangki bawa diesel RM900,000 tanpa kebenaran ditahan

Kota Kinabalu: Sebuah kapal tangki membawa 170,000 liter diesel bernilai hampir RM900,000 ditahan Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan daerah ini kerana disyaki membawa bahan bakar berkenaan tanpa kebenaran dan pelbagai kesalahan lain.

Kapal itu ditahan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan dalam satu operasi khas di kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Teluk Sepanggar, di sini, kira-kira jam 2 petang semalam.

Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya bertindak menahan kapal tangki berkenaan selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudian menjalankan pemeriksaan dan kapal tangki itu dikendalikan empat kru termasuk nakhoda warga tempatan berusia 24 hingga 72 tahun.

“Pemeriksaan ke atas muatan menjumpai minyak diesel dianggarkan sebanyak 170,000 liter berjumlah hampir RM900,000 yang tidak diisytiharkan dan tiada dokumentasi yang sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas sistem navigasi dan rekod pergerakan kapal mendapati ia sengaja dimatikan dan menimbulkan kecurigaan kepada pasukan menggeledah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dokumentasi turut menemui pelbagai kesalahan lain seperti pertukaran butiran syarikat tidak dimaklumkan kepada pendaftar kapal.

“Selain itu, kapal yang berdaftar di negara ini, beroperasi tanpa kru yang lengkap seperti di dalam Daftar Keselamatan Kapal (Safe Manning – Ship Personal), nakhoda, ketua jurutera dan kru kapal tidak memenuhi syarat kompetensi sepatutnya serta peralatan keselamatan tidak mencukupi.

“Kapal dan kru seterusnya ditahan dan diiringi ke Jeti Maritim Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawau penyiasat untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Mohd Rosli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) dan Akta Bekalan 1961.

“Laporkan sebarang salah laku jenayah di laut terutama di perairan negeri ini dan Labuan kepada Pusat Operasi Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau melalui talian kecemasan MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|