‘Terlalu banyak telur busuk’ dalam organisasi – Tan Sri Azman Hashim

‘Terlalu banyak telur busuk’ dalam organisasi – Tan Sri Azman Hashim

Kota Kinabalu: Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim, menyifatkan amalan rasuah seperti telur busuk yang menjejaskan imej sesebuah organisasi di negara ini.

Katanya, amalan buruk itu sudah berleluasa sehinggakan banyak kes dikesan dalam organisasi tertentu dan menunggu untuk dibicarakan di mahkamah.

Malah, Penasihat Kehormat Ambank Group itu berkata, amalan rasuah sudah menjadi endemik dan budaya yang menimbulkan pelbagai kesan negatif kepada negara.

“Rasuah sudah umpama menjadi endemik dalam kehidupan dan budaya di Malaysia. Isu seperti penyeludupan minyak, manusia dan pembelian kad pengenalan serta pasport haram banyak dikaitkan dengan pihak tertentu.

“Terlalu banyak ‘telur busuk’ dalam sesebuah organisasi dan banyak kes yang masih menunggu perbicaraan mahkamah,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Konvokesyen UMS Ke-23, di sini, semalam.

Berikutan itu, beliau mengingatkan graduan supaya menerapkan nilai yang berkualiti agar tidak terjerumus ke dalam kancah rasuah.

Jelasnya, tiada tolak ansur harus diberikan kepada amalan rasuah kerana perkara itu hanya merugikan negara.

Azman berkata, graduan perlu mengambil contoh bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang berhasil menjadikan Singapura sebuah negara dengan kes rasuah yang terendah.

“Banyak impak negatif apabila rasuah dibiarkan berleluasa. Antaranya, ia boleh menyebabkan negara jatuh bankrap atau mempunyai keterhutangan yang melampau seperti yang berlaku di negara Venezuela.

“Justeru, saya ingin mengingatkan para graduan agar tidak bertoleransi dalam sebarang bentuk penyelewengan kuasa dan amalan rasuah walau apa juga bidang yang diceburi selepas ini,” katanya.

Sempena Majlis Konvokesyen UMS kali ini, Azman menyampaikan skrol ijazah kepada graduan pada sidang dua hingga empat yang berlangsung di Dewan Canselor UMS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|