Dua lelaki maut ditetak guna parang

Dua lelaki maut ditetak guna parang

Semporna: Dua lelaki berusia 52 dan 57 tahun maut selepas ditetak dalam pergaduhan membabitkan tiga warga asing, di kawasan berhampiran sebuah gereja, di Ladang Pinang, Kalumpang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, pergaduhan dikatakan tercetus selepas seorang daripada mangsa yang maut dikatakan berselisih faham dengan penyerang yang berusia 29 tahun.

Lokasi kejadian dua lelaki maut ditetak menggunakan parang.

Manakala seorang mangsa yang maut pula dikatakan terbabit dalam kejadian itu selepas cuba meleraikan keadaan.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian tangan, tengkuk, leher dan kepala selepas ditetak menggunakan parang.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, polis menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 6.21 petang sebelum mengerahkan sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek warga asing terbabit sudah ditahan berhampiran kawasan klinik milik ladang berkenaan.

“Suspek kemudiannya menyerah diri selepas berjaya dipujuk anggota polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohd Farhan berkata, siasatan di lokasi kejadian turut berjaya menemui senjata parang yang digunakan suspek.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat bagi membantu siasatan selanjutnya.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 3 Julai depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|