41 syarikat pelancongan tidak berlesen di Semporna

41 syarikat pelancongan tidak berlesen di Semporna

Semporna: Sebanyak 41 syarikat pelancongan yang beroperasi di daerah ini dikenal pasti belum memohon lesen yang disyaratkan untuk menawarkan perkhidmatan kepada pelancong.

Perkara itu didedahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin, yang mahu supaya syarikat terbabit mengambil langkah segera mendaftarkan syarikat masing-masing.

Sesi libat urus bersama pengusaha pelancongan Semporna.

Beliau menasihatkan agar pemilik syarikat terbabit mengemukakan segera permohonan untuk mendapatkan lesen bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa depan.

“Sekurang-kurangnya 41 syarikat lagi yang masih gagal mengemukakan permohonan lesen.

Jafry meninjau Jeti Pelancongan Semporna.

“Daftarkan segera untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku dan jangan mendatangkan risiko kepada pelancong dengan menggunakan perkhidmatan pelancongan yang tidak berlesen,” katanya dalam satu kenyataan sempena lawatan kerjanya ke daerah ini bermula semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah dan Pegawai Daerah Semporna, Juraimin Jadil.

Jafry berkata, jika terjadi kemalangan membabitkan pelancong, seperti bot karam ia bukan saja memberi kesan kepada pelancong malah pihak berkuasa juga menghadapi masalah berikutan tiada rekod maklumat pengusaha, bot, dan pelancong.

Katanya, hasrat kementerian adalah untuk memastikan pelancong dilindungi dan mendapatkan khidmat pelancongan yang telus.

“Saya yakin dan percaya kejayaan atau kegagalan sesebuah destinasi pelancongan bergantung kepada kebolehan kita dalam menyediakan persekitaran selamat dan terjamin kepada pelancong,” katanya.

Sempena lawatan kerjanya, satu sesi libat urus kementerian bersama pengusaha pelancongan Semporna turut diadakan untuk mengetahui perkembangan semasa pelancongan selain mengenal pasti masalah yang dihadapi.

Sementara itu, Jafry berkata masalah dihadapi pelancong yang terpaksa menunggu lama untuk pemeriksaan sebelum berlepas ke pulau di Jeti Pelancongan Semporna akan segera ditangani.

Beliau mencadangkan agar satu usaha bersepadu dilaksanakan di antara Majlis Daerah Semporna, pihak berkuasa dan pengusaha pelancongan untuk memastikan perjalanan yang selamat, iaitu lulus dari segi spesifikasi undang-undang dan perjalanan lancar mengikut masa yang ditetapkan.

“Kita ada peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi, oleh itu dengan tindakan bersepadu dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan, saya yakin semua permasalahan pasti dapat diselesaikan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|