MTCC taja Anugerah Freezailah UMS buat kali ke-5

MTCC taja Anugerah Freezailah UMS buat kali ke-5

Kota Kinabalu: Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) sekali lagi menaja pemberian Anugerah Kelestarian Hutan Freezailah kepada Graduan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tahun ini memasuki tahun kelima MTCC menaja anugerah berkenaan yang disampaikan kepada graduan cemerlang FPT UMS sempena Majlis Konvokesyen UMS Ke-23 .

Kali ini, graduan program Perladangan Hutan dan Perhutani, Hiew Suet Enn, 25, dipilih sebagai pemenang anugerah berkenaan.

Ia berdasarkan kecemerlangan akademik dan tesis beliau bertajuk ‘Detection Rate And Activity Pattern Of Tembadau (Bos Javanicus Low) In Salt Lick And Non Salt Lick Areas At Segaliud Lokan Forest Reserve, Sandakan, Sabah’.

Suet Enn yang juga penerima Ijazah Kelas Satu dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.81 membawa pulang hadiah wang sebanyak RM2,000.

Penyampaian anugerah disampaikan Ahli Pemegang Saham MTCC, Datuk Zainie Abdul Aucasa pada Majlis Penyampaian Freezailah Forest Sustainability Award 2021 selepas sidang tiga, Majlis Konvokesyen UMS Ke-23, semalam.

Zainie berkata, Suet Enn dipilih daripada tiga calon yang menampilkan projek akhir tahun berkaitan pengurusan hutan mapan, pensijilan hutan, pengurusan sumber semula jadi, penilaian impak alam dan penggunaan produk kayu serta hasil hutan bukan kayu.

“Selain mempunyai kualiti yang tersendiri, kami harap agar data asas yang diperolehi daripada kajian Suet Enn sedikit sebanyak dapat membantu Unit Pengurusan Hutan Simpan Segaliud Lokan untuk terus memenuhi keperluan standard Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pengurusan Hutan Mampan.

“Besarlah harapan kami agar anugerah ini dapat memberikan inspirasi kepada graduan yang layak seperti beliau untuk menyumbangkan idea yang bernas, pengetahuan dan kemahiran dalam karier mereka kelak bagi memastikan kelestarian sumber semula jadi terutamanya hutan di Malaysia,” katanya.

Sementara Suet Enn ketika ditemui berkata, kajian yang dilakukannya berkaitan Tembadau iaitu spesies lembu liar yang hampir pupus di Kepulauan Borneo terutamanya di Sabah.

“Saya melakukan kajian ini di Unit Pengurusan Hutan Simpan Segaliud Lokan kerana lokasi ini dihuni oleh Tembadau dan ia sering dilihat berada di hutan ini,” jelasnya sambil mengucapkan terima kasih kepada Pensyarah Kanan, Program Perladangan Hutan dan Perhutani, FPT, Dr Jephte Sompud selaku penyelia tesis.

Anugerah Kelestarian Hutan Freezailah mula diberikan pada 2016 bagi menghargai jasa Pengerusi Pengasas MTCC, Datuk Dr Freezailah Che Yeom, yang berkhidmat di agensi itu selama 17 tahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|