Kota Kinabalu: Ratusan bakal pembida untuk jualan lelong aset alih mengerumuni Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah bagi mengenalpasti 158 barangan yang dilelong esok.
Tinjauan Deasoka.Com di lokasi mendapati, orang ramai mula tiba di pekarangan IPK Sabah seawal jam 8 pagi tadi.
Antara barangan yang bakal dilelong termasuk barang kemas, peralatan elektrik, enjin bot serta pelbagai jenis motosikal dan kereta.
Difahamkan, antara yang mendapat perhatian ramai adalah jualan lelong barang kemas yang mencecah harga puluhan ribu bergantung kepada saiz dan berat.
Acara lelong ini akan dikendalikan Pejabat Perlucuthakan Harta, Jabatan Siasatan Jenayah, di Dewan Serbaguna, IPK Sabah, bermula jam 8 pagi hingga selesai, esok.
Pembida yang berminat untuk menyertai lelongan perlu mendaftar dengan pegawai pelelong dengan memberikan nama penuh, Mykad dan alamat.
-Deasoka