Kota Kinabalu: Sepasang suami isteri sukar menyembunyikan perasaan sedih ketika menerima ijazah arwah anak secara anumerta pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-23, di sini.
Mohd Sharimshah Othman, 54, dan Nor Hayati Haroon, 55, yang mewakili arwah anak mereka, Allahyarham Abdullah Ammar Mohd Sharimshah, 24, hanya mampu berkongsi perasaan itu di samping berbangga atas pencapaian arwah ketika hayatnya.
Arwah Ammar, 24 yang sebelum ini mengikuti pengajian di Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS disahkan maut akibat kecederaan di kepala ketika melakukan aktiviti pendakian di Lata Medang, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 20 Ogos 2020.
Nor Hayati berkata, ketika kejadian itu Ammar melakukan aktiviti pendakian bersama rakan-rakannya sebelum dilaporkan cedera di kepala akibat terhentak pada batu selepas terjun dari tingkat lima air terjun.
“Kami dimaklumkan arwah Ammar sempat sedar selama 45 minit sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya selepas menerima ijazah anak mereka di Dewan Canselor UMS, di sini.
Beliau yang juga seorang guru berkata, beberapa hari sebelum meninggal dunia, arwah Ammar sering termenung dan mengusik memanggil namanya.
Ibu kepada lima orang cahaya mata itu bersyukur apabila mendapat tahu daripada beberapa pendaki yang berada di tempat kejadian mengatakan ketika arwah masih sedar, dia sempat beristighfar dan mengucap kalimah syahadah sehingga menghembuskan nafas terakhir.
Sementara itu, Mohd Sharimshah berkata anaknya adalah seorang yang sangat kreatif dan suka kepada teknologi, selain suka berlakon, menyunting video dan memuat naik ke Youtube.
“Arwah pernah bercerita dengan saya bahawa dia sangat suka bidang geologi kerana ingin mengkaji bumi, batu-batuan, menjejaki sirah Rasulullah SAW kemudian membuat dokumentari sendiri.
“Kami pernah bercuti ke Cameron Highlands dan Ammar dapat mengenal pasti usia batu serta bersemangat menceritakan pengetahuannya kepada kami.
“Kalau boleh dia tidak ingin melihat alam semula jadi sekelilingnya kosong tanpa memahami apa yang telah dipelajarinya,” katanya.
Penganugerahan ijazah secara anumerta adalah penghargaan kepada graduan yang meninggal dunia dan berjaya menyelesaikan lebih 85 peratus pengajian.
-Deasoka