Pemandu e-hailing, rakan rompak penumpang dipenjara 10 dan 11 tahun

Pemandu e-hailing, rakan rompak penumpang dipenjara 10 dan 11 tahun

Tawau: Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini memerintahkan dua rakan yang bersubahat merompak seorang pengguna perkhidmatan e-hailing pada Jun lalu dipenjara masing-masing 10 dan 11 tahun.

Tertuduh, Hamzah Syed Hamid, 26 dipenjara 11 tahun dan enam sebatan, manakala rakan subahatnya, seorang warga asing, Ziana Abdul Zain, 27 yang juga pemandu kenderaan e-hailing ketika kejadian pada 14 Jun lalu dipenjara 10 tahun.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menetapkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku salah sejurus pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 kanun yang sama dibacakan kepada mereka.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kegiatan merompak pengguna e-hailing bersama seorang yang masih bebas pada kira-kira jam 2.30 pagi, 14 Jun lalu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di jalan kawasan Fajar, di sini menyebabkan mangsa, Mohd Rizwan Evaristus, 27, kehilangan sebuah telefon bimbit jenama Vivo berwarna hitam.

Ketika melakukan rompakan, kedua-dua tertuduh dilapor menggunakan senjata berbahaya yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian pengadu menggunakan perkhidmatan kenderaan e-hailing Proton Gen 2 yang dipandu seorang wanita manakala dua lelaki bersembunyi di tempat duduk penumpang belakang.

Pemandu dan dua rakannya itu kemudian merompak pengadu dengan seorang daripada mereka mengacukan pisau sehingga bahagian jari telunjuk kiri pengadu cedera sebelum ditinggalkan di kawasan semak.

Ketika menjatuhkan ukuman, Awang Kerisnada berkata mahkamah mengambil kira fakta kes dan kepentingan awam selain memberi pengajaran serta kesedaran kepada masyarakat agar sentiasa berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Pendakwaan dikendalikan Penolong Pegawai Pendakwa, Suhaimi Suriana.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|