Maritim Malaysia rampas 900 gram syabu bernilai RM50,000

Maritim Malaysia rampas 900 gram syabu bernilai RM50,000

Labuan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas satu bungkusan dadah disyaki syabu selepas menahan sebuah bot gentian di perairan Menumbok, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, syabu yang dipercayai cuba diedarkan itu dibungkus di dalam bungkusan teh cina dan dianggarkan seberat 900 gram.

Nudin menunjukkan bungkusan berisi dadah jenis syabu yang dirampas.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot yang membawa syabu berkenaan berjaya dikesan peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan rondaan di perairan Labuan.

Katanya, sebaik bot gentian kaca berkenaan dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus cuba mendekatinya untuk pemeriksaan.

Dadah syabu yang ditemui dalam sebuah bot gentian di perairan Menumbok.

“Bagaimanapun, sebaik dihampiri, bot terbabit bertindak memecut laju melarikan diri menuju ke kawasan Tanjung Kelias, Menumbok.

“Seorang suspek yang mengemudi bot berkenaan kemudiannya berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan bot di pesisir laut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sebuah bot gentian yang ditemui di perairan Menumbok.  

Nudin berkata, hasil penggeledahan yang dilakukan, pasukan operasi berjaya menemui dadah yang disembunyikan di dalam bot berkenaan.

“Pasukan operasi kemudiannya membawa dadah bersama bot gentian kaca itu ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.

“Semua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM50,000 dan Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.

Nudin berkata, usaha mengesan pemilik serta dalang yang terlibat akan dijalankan bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan hukuman sewajarnya.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini boleh salurkan maklumat kepada 087-427999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|