TELCO diminta segera atasi masalah talian komunikasi terputus di Sipitang

TELCO diminta segera atasi masalah talian komunikasi terputus di Sipitang

SIPITANG: Syarikat-syarikat telekomunikasi (Telco) digesa segera menyelesaikan masalah gangguan liputan talian telefon dan internet yang dihadapi oleh pengguna di beberapa buah kampung disini.

Antara kampung yang dilaporkan terjejas teruk ialah Kampung Long Pasia, Kampung Long Mio, Kg Ulu Bole, Kampung Meligan dan Kampung Iburuh.

Menara Komunikasi Kampung Long Pasia. (Gambar fail KKMM).

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan  Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Sani Miasin berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung masalah talian komunikasi terputus.

Katanya, masalah itu telah menjejaskan hubungan dan komunikasi lebih 1,000  penduduk kampung dari beberapa buah kampung yang terlibat.

“Saya difahamkan masalah gangguan liputan talian komunikasi berpunca daripada kerosakan penjana kuasa menara telekomunikasi di Kampung Long Pasia dan Kg. Ulu Bole.

“Liputan talian telefon dan internet di sini bergantung kepada menara telekomunikasi, namun ia perlu penjana kuasa untuk memastikan ia beroperasi 24 jam setiap hari. Kerosakan penjana kuasa menyebabkan talian komunikasi terputus”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sani berkata, berdasarkan aduan orang kampung, penjana kuasa di menara Kampung Long Pasia mengalamai kerosakan sejak 8 April 2022, namun sehingga 30 April 2022 ianya masih belum berjaya dibaiki.

Menurutnya, akibat talian komunikasi terputus, penduduk Kampung Long Pasia terpaksa bergantung kepada Menara Kampung Long Mio bagi kes kecemasan.

“Sudah jatuh ditimpa tangga, difahamkan pada 25 April 2022, gangguan juga berlaku di Kampung Long Mio. Ini bermakna Kampung Ulu Bole, Kampung Meligan, Kampung Iburuh dan Kampung Long Pasia tiada liputan talian telefon dan internet.

“Masalah gangguan talian komunikasi di kampung-kampung berkenaan tiada kesudahan sejak sekian lama terutama di Kampung Long Pasia, Kampung Long Mio dan sekitarnya”, tegasnya.

Beliau berkata, masalah gangguan liputan talian telefon dan internet turut menjejaskan proses pembelajaran para pelajar sekolah.

Sehubungan itu Sani mencadangkan agar syarikat-syarikat telekomunikasi menggunakan solar untuk  menjana tenaga eletrik bagi kegunaan menara telekomunikasi.

Katanya, pengguna solar dapat mengelakkan gangguan tenaga eletrik akibat kerosakan penaja kuasa atau masalah gangguan bekalan minyak petrol untuk penjana kuasa disebabkan jalan perhubungan ke menara telekomunikasi yang tidak baik.

Sani berkata, masalah liputan talian komunikasi terputus itu juga telah dimaklumkan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan.

Jarak Kampung Long Pasia dan Long Mio dari pekan Sipitang kira-kira 128km. Ia hanya boleh dihubungi menggunakan jalan balak yang kini dalam keadaan yang   tidak memuaskan dan menyedihkan.

Sebagai rekod, Menara Telekomunikasi (TIMES3) Kampung Long Pasia telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ketika itu, Datuk Jailani Johari pada 23 Januari 2017.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|