Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang sama seperti dikuatkuasakan kerajaan Pusat mulai semalam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata setakat ini tiada sebarang perubahan dibuat jawatankuasa COVID-19 negeri terhadap SOP berkenaan.
“Kita guna pakai SOP persekutuan. Bagaimanapun, kalau ada sebarang perubahan, jawatankuasa COVID-19 negeri akan menentukannya nanti,” katanya ditemui pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sabah, Sembulan, di sini, pagi tadi.
Turut menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Hajiji dan ribuan umat Islam di Masjid Negeri ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun; Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif; dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Saifulzaman Sangul; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Sulai dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Hajiji turut menyatakan harapannya agar sambutan Aidilfitri kali ini akan mengeratkan lagi silaturahim antara sesama umat Islam dan masyarakat keseluruhannya.
“Dengan fasa peralihan ke endemik ini, kita gunakan kesempatan untuk menziarahi antara satu sama lain setelah dua tahun kita tidak dapat melakukannya.
“Ini sesuatu yang baik kepada umat Islam di Sabah untuk kita merapatkan lagi silaturahim,” katanya.
Sementara itu, dalam perutusannya sempena Aidilfitri, Hajiji turut mengingatkan rakyat di Sabah supaya terus mematuhi SOP sepanjang merayakan sambutan Aidilfitri.
“Kita bersyukur kerana Aidilfitri kali ini berbeza berbanding selama dua tahun yang lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menghalang umat Islam menyambutnya bersama keluarga di kampung halaman masing-masing.
“Pembukaan sempadan negara bermula 1 April lalu memberikan rakyat khususnya umat Islam peluang untuk balik kampung dan merayakan Aidilfitri bersama keluarga.
“Namun, kita juga harus ingat situasi COVID-19 belum pulih sepenuhnya. Begitu juga di Sabah, walaupun kes harian menunjukkan penurunan, pematuhan terhadap SOP dan kawalan kendiri masih sangat penting,” katanya.
Beliau turut mendoakan anggota barisan hadapan dan pasukan keselamatan yang menjalankan tugas sepanjang perayaan dapat sama menyambut Aidilfitri seadanya dalam keadaan selamat.
Hajiji turut menyatakan penghargaannya kepada rakyat Sabah dalam menyokong usaha kerajaan negeri menangani COVID-19 dan pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memulihkan ekonomi negeri.
– Deasoka