Rindu masakan ibu di pagi Syawal

Papar: Tiada yang lebih dirindui ketika menjelangnya Aidilfitri selain masakan ibu dan suasana malam Hari Raya yang meriah dan mengimbau nostalgia.

Itu antara perkara yang dikongsikan seorang klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar yang sedang menjalani pemulihan, di sini.

Halim (bukan nama sebenar) 37, berkata dua resipi masakan ibunya, iaitu ayam masak kicap dan cendol pulut sangat disukainya.

“Ayam masak kicap dan cendol pulut ibu pastinya menu wajib kami sekiranya saya berada di rumah. Kalau minta mesti ibu buatkan apa saja juadah kegemaran saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Anak ketiga daripada enam beradik berasal dari Tawau itu berkata, dia juga sangat merindui suasana Ramadan dan malam raya di kampungnya.

Beliau berkata, kebiasaannya dia akan membantu keluarga membuat persiapan dekorasi dan membersihkan halaman rumah.

“Tetapi saya sedar dadah sudah memusnahkan segalanya.

“Fokus utama kini hanya mahu sembuh sepenuhnya daripada ketagihan dan berazam tidak mengulangi kesilapan sama demi ibu dan keluarga,” katanya sambil menitiskan air mata.

Mengimbau kembali detik-detik bersama ibu, Halim dalam nada sebak berkata, dia sangat rapat dengan ibunya terutama selepas kematian bapa mereka sewaktu berusia 17 tahun.

“Ayah sudah meninggal dunia ketika saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Adik-beradik lain pula ramai sudah berkahwin manakala adik lelaki bekerja di Semenanjung. Hanya saya seorang sahaja yang menetap di rumah bersama ibu.

“Sedih apabila teringat tidak mampu menjaga ibu ketika ini dan harap ibu memaafkan saya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi klien PUSPEN Papar dikenali sebagai Taufiq (bukan nama sebenar), 42, menyifatkan kerinduan kepada isteri dan empat anaknya yang berada di Tawau seperti rindu yang tidak berpenghujung.

“Saya dan semua empat anak memang rapat sehingga saya menjadi tempat mereka mengadu sekiranya mempunyai masalah.

“Apabila Hari Raya Aidilfitri, pastinya isteri dan anak-anak sentiasa bermain di fikiran kerana musim perayaan begini mereka pasti mencari saya.

“Bagaimanapun, saya akur terpaksa berada di sini untuk menjalani tempoh rawatan demi kesembuhan diri,” katanya yang sudah 11 kali khatam Al-Quran sepanjang 13 bulan berada di pusat pemulihan terbabit.

Halim dan Taufiq adalah antara 326 klien yang sedang menjalani program pemulihan di PUSPEN Papar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|