Tekong warga Indonesia hilang, bot karam

Tekong warga Indonesia hilang, bot karam

Kudat: Seorang tekong warga Indonesia dilaporkan hilang di laut selepas bot lantingan dinaikinya karam di perairan ini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, pihaknya mengaktifkan Operasi Carilamat selepas menerima aduan mengenai tekong bot lantingan yang gagal dihubungi sejak jam 5 pagi semalam.

Pasukan Maritim Malaysia meneruskan Operasi Carilamat di perairan Kudat. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Terdahulu, katanya, bot mangsa telah ditemui karam di perairan Sibogo, Pulau Banggi oleh bot nelayan tempatan kira-kira jam 9 pagi semalam.

“Operasi Carilamat kemudian diaktifkan jam 1.45 petang semalam dan mangsa Rijal Idris, 47, dilaporkan berada di lokasi terakhir sekitar Utara Pulau Malawali.

Lokasi bot karam di kawasan perairan Kudat. Pix Ihsan Maritim Malaysia

“Aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Boon Chin berkata, bot-bot nelayan yang berada di kawasan berkenaan turut membantu dalam Operasi Carilamat.

“Bagaimanapun mangsa masih belum ditemui sehingga kini dan operasi ditangguhkan 6.30 petang semalam sebelum disambung jam 7 pagi tadi.

“Kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor dengan keluasan 61 batu nautika persegi.

“Turut membantu dalam usaha pencarian iaitu sebuah aset daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Maritim Malaysia memohon kerjasama masyarakat sekitar daerah ini untuk melaporkan sekirannya terdapat maklumat atau menemui sebarang petunjuk bagi membantu Operasi Carilamat ini kepada Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|