Tawau: Cubaan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk secara haram ke negara ini gagal selepas dikesan Tim Quick Reaction Force (QRF), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), dalam Op Benteng di sebuah rumah kosong di Jambatan 1, Kampung Kurnia Jaya, di sini, malam tadi.
Tangkapan ini hasil daripada pengesanan awal Radar Coastal Surveillance Station (CSS) dikendalikan MK ATB 2 yang mengesan sebuah bot dari arah luar sempadan perairan negara memasuki perairan Malaysia secara haram pada jam 7.38 malam.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, bertindak atas maklumat itu, pasukan QRF ATB 2 yang sedanf menjalankan rondaan Op Benteng bersama dikerah ke lokasi berkenaan untuk pemeriksaan.
Katanya, tindak pantas QRF ATB 2 berjaya menahan 14 PATI yang bersembunyi di dalam sebuah rumah di kampung berkenaan.

“Bot yang membawa semua PATI gagal dikesan dan dipercayai bersembunyi di kawasan perkampungan rumah atas air.
“Hasil pemeriksaan terhadap 14 PATI terbabit mereka adalah warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan cuba memasuki Malaysia secara haran melalui perairan Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mereka terdiri daripada tujuh lelaki berusia 19 hingga 41 tahun, lima wanita berusia 21 hingga 48 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia sembilan dan dua tahun.
Katanya, turut ditemui barangan persendirian dan tiada penemuan barang-barang terlarang.

“Semua PATI terbabit dimaklumkan menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau dan seterusnya akan diambil oleh agen dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang ditetapkan.
“Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau jam 9.20 malam tadi untuk siasatan lanjut dan proses saringan Covid-19.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, tangkapan PATI ini adalah yang kelima sepanjang Januari tahun ini.
Katanya, ATB 2 telah mengarahkan agar Tim QRF melaksanakan corak rondaan dipelbagaikan dalam usaha untuk mematahkan aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Semua usaha dilaksanakan sebagai memantau secara berterusan dan mengeksplotasikan keupayaan radar serta dron bagi memastikan kejayaan aturgerak operasi yang dilaksanakan,” katanya.
-Deasoka