Tarik balik keputusan tangguh pembinaan CIQ Kalabakan: Bung Moktar

Tarik balik keputusan tangguh pembinaan CIQ Kalabakan: Bung Moktar

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendesak kerajaan Persekutuan menarik semula keputusan penangguhan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kalabakan.

Penangguhan projek bernilai RM600 juta itu dikatakan atas alasan tiada peruntukan diberikan Kementerian Kewangan.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, keputusan itu tidak adil kepada rakyat di negeri ini yang memerlukan pemangkin ekonomi bagi membangunkan kawasan pantai timur Sabah agar lebih maju selepas ini.

Tegasnya, keputusan penangguhan yang diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof itu amat mengejutkan lebih-lebih lagi projek berkenaan telah pun bermula dan berjalan dengan lancar.

“Alasan ini tidak boleh diterima kerana CIQ itu akan membantu melonjakan ekonomi Sabah kesan daripada perpindahan ibu kota Indonesia di Kalimantan.

“Sudah terlalu lama Sabah ketinggalan daripada sektor ekonomi berbanding Semenanjung walaupun hakikatnya kita menyumbang hasil yang banyak kepada negara.

“Tetapi apabila ada projek yang baik diumumkan, kerajaan pula tangguhkan atas alasan tiada peruntukan tanpa mengambil kira kepentingan dan keperluan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bung Moktar berkata lagi, Sabah tidak boleh dijadikan mangsa kepada kekangan kewangan kerajaan Persekutuan memandangkan lebih banyak projek pembangunan di Semenanjung dilaksanakan termasuk Projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) di Kuala Lumpur yang bernilai lebih RM20 bilion sudah hampir disiapkan.

Tambahnya lagi, projek CIQ Kalabakan pula sebaliknya jauh lebih murah dan sama pentingnya untuk rakyat Sabah seperti perlunya MRT2 di Semenanjung disiapkan.

“Dengan pembukaan Kalimantan Timur sebagai ibu negara baharu Indonesia, perpindahan rakyat Indonesia dari kepulauan Jawa dijangka berlaku secara besar-besaran, maka tempias ekonomi akan turut melanda pantai timur Sabah.

“Tetapi syaratnya ialah kita perlu sediakan kemudahan lebih-lebih lagi Lebuh Raya Trans-Borneo sedang menanti untuk menghubungkan Sabah dengan Kalimantan.

“Jika kerajaan meneruskan penangguhan itu maka Sabah akan terus ketinggalan walaupun peluang sudah terbuka di depan mata kerana infrastruktur yang penting seperti Kompleks CIQ tidak dibina,” katanya.

Jika kompleks CIQ di Kalabakan siap, ia bakal menjadi pintu masuk antara Sabah dan Indonesia melalui Kalimantan Utara.

Projek di Serudong itu merupakan sebahagian daripada projek Jalan Kalabakan- Serudong iaitu salah satu pakej dalam Lebuh Raya Trans-Borneo.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|