E-Sport, pendedahan belia Sabah akan dipertingkat: Yakub

E-Sport, pendedahan belia Sabah akan dipertingkat: Yakub

Sepanggar: Pendedahan anak muda dalam sukan e-Sport perlu ditingkatkan bagi melahirkan banyak bakat yang terdiri daripada belia tempatan di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, perkara itu perlu diberi penekanan semua aspek termasuklah dorongan daripada pihak ibu bapa kepada anak-anak mereka untuk menceburi bidang sukan e-Sport.

Antara anak muda yang menyertai program Enchanging Sepanggar Youth eSport Community di Dewan Masyarakat Sepanggar.

“Memandangkan sukan berbentuk permainan atas talian ini mendapat sambutan memberangsangkan, maka kita perlulah memperkasakannya sebagai hasrat melihat anak-anak Sabah mampu menjadi antara mereka yang berjaya dalam bidang ini.

“Kita di dalam kementerian sentiasa menyokong dan memberikan dorongan kepada semua pihak yang terlibat dengan sukan e-Sport menerusi pelbagai program serta penganjuran,” katanya.

Senarai ahli kumpulan yang menyertai Enchanging Sepanggar Youth eSport.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan program Enchanging Sepanggar Youth eSport Community di Dewan Masyarakat Sepanggar, dekat sini, hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Setiausaha UMNO Sabah merangkap Penyelaras DUN Darau, Datuk Jumat Idris dan Ketua Pemuda UMNO Sepanggar, Mohd Hafidz Yakub.

Merupakan anjuran Pemuda UMNO Bahagian Sepanggar, program terbabit disertai lebih 32 pasukan yang terdiri anak-anak belia di bahagian itu melibatkan pertandingan permainan PUBG.

Mengulas mengenai acara berkenaan, Yakub yang juga Ketua Bahagian UMNO Sepanggar berkata, ia merupakan satu pendekatan terbaik dalam hasrat parti menyantuni minat golongan belia.

“Selain itu, dengan adanya penganjuran seperti ini, dapatlah kita terutama Pemuda UMNO Sepanggar mendidik mereka terlibat dengan aktiviti yang dilihat bermanfaat dan terhindar daripada gejala-gejala negatif seperti budaya melepak atau lebih teruk lagi, aktiviti jenayah atau sebagainya.

“Program seumpama ini, kita juga berhasrat akan meluaskannya ke seluruh daerah di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|