SAFA Tuaran juara Piala Sabah 2022

SAFA Tuaran juara Piala Sabah 2022

Kota Kinabalu: Jaringan gol tunggal bekas penyerang negara, Rozaimi Abdul Rahman, cukup untuk memberikan kemenangan kepada pasukan SAFA Tuaran bagi dinobatkan sebagai juara Piala Sabah 2022, hari ini.

Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Likas, di sini, petang tadi, pemain berusia 30 tahun terbabit berjaya menghasilkan gol menerusi rembatan kencang pada minit 62, hasil gerakan menarik daripada rakan sepasukan.

Pasukan Tawau yang diketuai seorang lagi bekas pemain negeri Sharul Azhar Ture menerima hadiah dan trofi daripada Datuk Shahelmy.

Pasukan SAFA Tuaran yang memenangi kejohanan itu buat kali pertama menerima hadiah sebanyak RM30,000 berserta trofi.

Manakala SAFA Tawau yang tewas dengan jaringan 1-0 pula turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000.

Hadiah disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmy Yahya yang hadir bagi mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) Datuk Juil Nuatim ketika ditemui berkata, kejayaan penganjuran kejohanan yang diseliakan Jawatankuasa Pertandingan SAFA itu wajar diberikan pujian.

Katanya, SAFA akan terus menganjurkan pelbagai lagi kejohanan dari semasa ke semasa dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru bagi pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

“Setakat ini, SAFA sudah menganjurkan dua kejohanan termasuk Piala Bung Moktar Radin (BMR) dan sedang merangka dua lagi kejohanan akan datang iaitu Piala Antara Kelab serta Liga SAFA.

“Ia akan menjadi platform terbaik bagi melahirkan pemain baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk Liga Super,” katanya pada sidang media selepas upacara penyampaian hadiah kepada pemenang dijalankan.

Sementara itu, Presiden SAFA Tuaran, Datuk Kassim Razali berkata, beliau amat berbangga dengan kejayaan pasukannya merangkul kejuaraan berkenaan.

Katanya, ia adalah kejayaan buat julung kalinya untuk SAFA Tuaran dan berharap ia dapat diteruskan dalam kejohanan yang bakal diadakan di masa akan datang.

“Sebagai Presiden SAFA Tuaran, saya amat berbangga dengan kejayaan ini. Perlawanan hari ini cukup sengit dan memberi gambaran bola sepak di negeri ini berada pada tahap terbaik,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|