Tangkap ketam, tertikam kaki sendiri

Kunak: Seorang lelaki terpaksa menahan azab kesakitan apabila ‘tertikam’ kaki sendiri ketika melakukan aktiviti menangkap ketam, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa berusia 20-an itu dikatakan turun ke kawasan paya bakau untuk menangkap ketam.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak sengaja tertusuk besi tajam di ibu jari kaki kanannnya sebelum menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 pagi.

Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan bergegas ke Hospital Kunak.

“Pasukan bomba bergegas ke Hospital Kunak selepas menerima panggilan kecemasan terdapat seorang mangsa tercucuk besi pada kakinya ketika menyuluh ketam.

“Pasukan bomba terus melakukan kerja-kerja operasi memotong besi menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudianya berjaya mengeluarkan besi dari kaki mangsa dengan selamat.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.05 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|