Kota Kinabalu: Sabah FC menunjukkan prestasi yang baik selepas mencatat kemenangan 2-1 dalam aksi persahabatan pertama antarabangsa di Jakarta, Indonesia, malam kelmarin.
Aksi menentang Persija Jakarta di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi, Indonesia itu disifatkan sebagai permulaan yang positif kepada Sabah FC sebelum meneruskan saingan Liga Super bermula pada 18 Jun ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata kemenangan itu sangat penting untuk mengembalikan prestasi pemain selepas berehat agak lama.
Katanya, ia juga permulaan yang baik kepada Sabah FC untuk berdepan dua lagi perlawanan persahabatan penting sepanjang berada di Jakarta.
Peluang beraksi dengan pasukan negara jiran itu, jelasnya membolehkan pemain Sabah FC menimba pengalaman dan pendedahan yang berguna sebagai bekalan menghadapi Liga Super.
“Persija Jakarta seperti kebiasaan, meskipun ketinggalan mereka pasti akan memberi tekanan kepada pasukan lawan. Beraksi di hadapan penonton sendiri sudah tentu memberikan kelebihan kepada mereka.
“Situasi ini berlaku kepada Sabah FC. Kita melakukan beberapa kesilapan individu namun kembali berjaya mendapatkan gol kemenangan penting malam tadi.
“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan corak persembahan pemain malam tadi. Kita harap mereka akan mengekalkan corak permainan ini sekali gus berupaya memperbaiki kesilapan yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai perlawanan persahabatan kedua menentang Bhayangkara FC yang diadakan tanpa kehadiran penonton, Kim Swee berkata pasukan itu tidak mempunyai perbezaan ketara dengan Persija.
Beliau meletakkan harapan kepada pemain skuad Sang Badak agar menampilkan aksi terbaik bagi mencapai sasaran kemenangan kedua di Jakarta.
“Objektif kita adalah sama seperti ditunjukkan ketika menentang pasukan Persija. Namun pemain yang akan diturunkan harus memikul tanggungjawab yang sama.
“Tidak kira siapa diturunkan, saya harap apa yang penting pendedahan serta pengalaman bermain dengan pasukan luar Malaysia dapat dimanfaatkan ketika menentang Sri Pahang apabila Liga Malaysia disambung semula nanti,” katanya.
-Deasoka