Memperingati 46 tahun tragedi Double Six

Kota Kinabalu: Hari ini genap 46 tahun Tragedi Double Six yang mengorbankan ramai pemimpin negeri termasuk Ketua Menteri, Tun Mohd Fuad Stephen akibat nahas kapal terbang di Sembulan pada 6 Jun 1976.

Upacara memperingati tragedi berkenaan diadakan di Tugu Peringatan Double Six di Sembulan pagi tadi yang dihadiri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, selaku Menteri Bertanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Abidin Madingkir.

Abidin (dua kiri) memberi penghormatan ketika mendahului upacara meletakkan karangan bunga. Ihsan Jabatan Penerangan

Hadir sama memberi penghormatan ialah bekas Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Yong Teck Lee; dan waris mangsa tragedi berkenaan.

Turut memberi penghormatan ialah wakil Datuk Bandar Kota Kinabalu, Linfred Wong; wakil Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Deputi Lee Nyuk Kim dan Pengurus Besar Magellan Sutera Harbour, Adrian De Rozario.

Wakil keluarga mendiang Datuk Darius Binion, Datin Jikilin Binion memberi penghormatan pada upacara meletakkan karangan bunga. Ihsan Jabatan Penerangan

Pada 6 Jun 1976, Allayarham Tun Fuad bersama beberapa anggota Kabinet negeri termasuk Datuk Peter Mojuntin, Datuk Salleh Sulong; Datuk Chong Thien Vun, dan Datuk Darius Binion maut selepas pesawat jenis Nomad dinaiki mereka dari Labuan terhempas di pantai Kampung Sembulan, di sini ketika hendak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Abidin (dua kanan) bersama tetamu dan wakil keluarga mangsa melawat Galeri Double Six di Sembulan, Kota Kinabalu. Ihsan Jabatan Penerangan

Turut terkorban ialah Setiausaha Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Wahid Peter Andau; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah, Dr Syed Hussein Wafa; Setiausaha Sulit Tengku Razaleigh Hamzah, Isak Atan; Pengawal Peribadi Tun Fuad, Koperal Said Mohammad; juruterbang, Kapten Gandhi Nathan dan anak sulung Tun Fuad, Johari Stephens.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|