Ranau: Menanam sendiri tanaman makanan boleh mengurangkan bebanan kos sara hidup berikutan kenaikan harga barangan yang terpaksa dihadapi rakyat ketika ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kenaikan harga barangan sangat dirasai di Sabah disebabkan kos penghantaran barangan ke negeri ini yang tinggi.
Beliau berkata, kenaikan kos pengangkutan selain syarikat di negeri ini terpaksa menanggung kos kapal yang balik dalam keadaan kosong menyebabkan harga barangan menjadi lebih mahal.
“Kerana itu harga beras dan barangan lain akan naik. Kenapa naik? Kerana kos tambang barangan melambung 200 peratus. Tidak banyak kapal yang datang ke Sabah kerana tidak banyak barang yang boleh dieksport sebab kosnya terlalu besar.
“Cara menentukan kos pengangkutan bagi barang yang hendak dihantar ke Sabah adalah berdasarkan jumlah dan apa jenis barangan yang hendak dibawa ke tempat mereka.
“Kebiasaannya, banyak barangan yang dibawa masuk ke Sabah tetapi amat sedikit barangan yang dibawa pergi (eksport). Sebab itu harga barang menjadi mahal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Raya, Kaamatan dan Kesyukuran Pelantikan Pemegang Adat dan Pemimpin Masyarakat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, di sini, semalam.
Katanya, pandemik COVID-19 turut menyebabkan banyak kontena kosong tersadai kerana tiada penyewa mengakibatkan kos mengangkut barangan lebih tinggi.
“Kos pengangkutan ditentukan berdasarkan kontena yang disewa. Katakan sebuah kontena boleh memuatkan 10 kereta tetapi kita hanya mahu menghantar sebuah kereta, sebenarnya kita membayar kos untuk 10 kereta dan bukannya kereta kita sahaja,” katanya.
Jelasnya, kerajaan tidak pernah menganiaya rakyat tetapi ada perkara di luar kawalan pemerintah seperti penentuan harga barangan kerana ia tertakluk kepada keadaan semasa pasaran.
Berikutan itu, beliau menyarankan agar rakyat berusaha mengurangkan bebanan keluarga masing-masing dengan menanam sendiri bahan makanan seperti sayuran.
“Tanah di Ranau adalah subur, hanya perlu lontarkan benih. Sebagai contoh, tidak perlu membeli sayur kacang panjang jika kita boleh menanam sendiri,” katanya.
Sementara itu, Masidi berkata Kabinet negeri baru-baru ini mengumumkan kemungkinan kerajaan negeri akan menghidupkan semula Lembaga Padi Sabah bagi menggalakkan pembukaan tanah yang lebih luas untuk penanaman padi.
Langkah itu katanya bagi mengatasi kebergantungan Sabah terhadap import beras berikutan 75 peratus keperluan beras di negeri ini adalah diimport.
-Deasoka