Kota Kinabalu: Jose Embalo bakal menjadi sandaran baharu Sabah FC di bahagian serangan apabila pemain berasal dari Portugal itu sah menyertai pasukan berkenaan bagi menggantikan Neto Pessoa yang digugurkan.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, Embalo menggantikan Neto selepas prestasi pemain itu sedikit menurun akibat kecederaan.
Katanya, walaupun Neto berjaya menjaringkan gol ketika menentang Sri Pahang FC tetapi secara keseluruhan terdapat beberapa sudut lain yang turut menyebabkan beliau terpaksa ditukar dalam jendela perpindahan bagi memantapkan lagi jentera bahagian serangan.
“Kita tidak mengatakan Neto begitu ketara kehilangan ataupun prestasi yang menurun, tetapi kita perlu memastikan semua pemain terutamanya para pemain import perlu berada pada tahap yang cukup baik untuk bermain bersama Sabah FC.
“Kita harus memikirkan apakah langkah seterusnya, jadi saya membuat keputusan untuk menukarkan Neto kepada Embalo.
“Embalo sudah memulakan sesi latihan bersama Sabah FC, kita yakin Embalo akan memberikan kesan besar dalam Sabah FC khususnya di bahagian serangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kim Swee berkata, Embalo berpengalaman bermain dalam banyak liga di Eropah dan berharap ia memberikan kelebihan kepada pemain itu untuk segera menyesuaikan diri dengan rentak permainan pasukan selain keserasian bersama-sama rakan sepasukan.
“Kita perlu bagi sedikit masa kepada Embalo… untuk perlawanan dengan Selangor FC, Embalo tidak akan diturunkan kerana beliau baharu sahaja tiba.
“Kita mempunyai beberapa hari lagi untuk memastikan Embalo berada pada tahap kecergasan yang baik sebelum kita bersedia menurunkan Embalo dalam perlawanan dengan Selangor FC mahupun Negeri Sembilan FC nanti,” katanya.
-Deasoka