SLDB lancar Program Agri-Perantis Hidroponik (Pro-App)

SLDB lancar Program Agri-Perantis Hidroponik (Pro-App)

Ranau: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) melancarkan Program Agri-Perantis Hidroponik (Pro-App) bagi membantu komuniti luar bandar.

Pengerusi SLDB, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, program berkenaan adalah salah satu usaha untuk mengangkat komuniti selaras dengan konsep pembangunan luar bandar yang diterajui oleh pihaknya.

Abdul Ghani bersama Syaheddrul pada pelancaran Program Agri-Perantis Hidroponik (Pro-App) di Ranau.

Katanya, Projek Hidroponik yang dijalankan hasil usahasama antara SLDB dan Kundasang Aqua Farm ini akan dikelolakan oleh Unit Pembangunan Korporat dengan Kerjasama Unit Hal Ehwal Pekebun Kecil dan Unit Latihan.

“Program ini adalah yang pertama kali dilaksanakan di Sabah, yang mana ianya melibatkan sesi temuduga, tapisan kelayakan dan pelaksanaan hingga khidmat pemantauan dan jaminan beli balik produk oleh Kundasang AquaFarm.

“Saya sangat positif dan amat yakin bahawa modul yang lengkap seumpama ini akan berjaya dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada pelancaran program berkenaan, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R Joddari.

Abdul Ghani berkata, beliau percaya modul pelaksanaan program ini sangat teliti dan tersusun dari peringkat awal pemilihan sehingga melahirkan usahawan tani yang berjaya.

Sementara itu, SLDB dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, program Pro-App ini adalah satu lagi agenda utama dalam konsep pembangunan luar bandar yang diterajui oleh SLDB.

Katanya, dalam mensejahterakan komuniti pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk program ini yang dijalankan bersama dengan rakan strategik SLDB iaitu Kundasang AquaFarm (KAF).

“Pada tahun 2021, SLDB memohon dana dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam bentuk geran dengan tujuan untuk meningkatkan pendapatan peserta dan peneroka yang terjejas disebabkan program penanaman semula dan untuk menempuh cabaran ekonomi pasca PKP.

“Salah satu program adalah Program Pertanian Kaedah Hidroponik dengan jumlah dana dipohon sebanyak RM1 juta,” katanya.

Menurutnya, belanjawan untuk program itu telah diluluskan dalam Belanjawan 2022 dan disalurkan untuk pelaksanaannya pada awal tahun ini.

Katanya, objektif pelaksanaan program itu adalah untuk memberikan latihan pertanian jangka panjang supaya peserta mahupun peneroka boleh mengusahakan pertanian menggunakan kaedah ini sebagai mata pencarian mereka kelak.

“Terdapat dua komponen utama dalam Program Pro-App ini iaitu Program Latihan Peserta dan Program Pelaksanaan di lokaliti, di mana peranan SLDB adalah membuka permohonan kepada warga komunitinya yang berminat menyertai program dan pemilihan pelatih dibuat oleh LKTNS berdasarkan penilaian bersama dengan KAF.

“Seramai 30 orang berjaya melepasi tapisan temuduga dan sedang menjalani kursus dan praktikal sepanjang tempoh selama sebulan bermula pada 13 Jun lalu,” katanya.

Menurutnya, program Latihan Penanaman Hidroponik ini akan dijadikan sebagai platform untuk memilih pelatih program yang layak untuk diberikan dana bagi melaksanakan program Tanaman Hidroponik di lokaliti masing-masing.

Katanya, sepanjang pelaksanaan di lokaliti ini, pihak SLDB dan KAF akan memberikan khidmat nasihat, pemantauan dan jaminan beli balik produk.

“SLDB sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab sosio korporat terhadap masyarakat terutama peneroka dan peserta SLDB itu sendiri.

“SLDB akan terus mengekalkan prestasi cemerlang dari masa ke semasa demi untuk mensejahterakan komuniti luar bandar terutama dikalangan peneroka dan peserta SLDB,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|