Setiap hospital perlu ada unit komunikasi korporat – Shahelmey

Setiap hospital perlu ada unit komunikasi korporat – Shahelmey

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) diminta mewujudkan unit komunikasi korporat di setiap hospital bagi menyalurkan maklumat yang tepat dan telus berkaitan perkhidmatan yang disediakan kepada pesakit.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata langkah itu sekali gus mengelak timbul spekulasi atau tuduhan berkaitan perkhidmatan kesihatan.

“Semalam saya ada bincang dengan pengarah JKNS meminta supaya setiap hospital ada unit komunikasi korporat agar mereka boleh berkomunikasi dengan masyarakat secara lebih tepat dan telus.

“Jadi tidak akan timbul sebarang spekulasi atau tuduhan yang berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan bas elektrik pertama di Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden kematian bayi baru dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) yang menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.

Shahelmey yang juga EXCO Kesihatan negeri, berkata semua hospital mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan etika yang perlu dipatuhi ketika menjalankan perkhidmatan.

“Jadi, mereka perlu mematuhi etika yang ada dan pihak masyarakat juga perlu mengetahui apa perkara dan maklumat yang boleh dikongsi secara umum.

“Ada juga maklumat yang mungkin tidak dapat dikongsi secara terbuka kepada umum. Maka itulah pentingnya unit komunikasi korporat berhubung dengan masyarakat untuk menerangkan perkara-perkara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyatakan kekesalannya terhadap sikap segelintir netizen di media sosial yang meluahkan rasa emosi, marah dan bahasa kesat terhadap petugas kesihatan seperti juurawat dan doktor.

“Ini satu perkara yang sepatutnya tidak kita dilakukan. Sekiranya ada kecuaian atau ketidakcekapan dalam proses mereka memberi perkhidmatan biarlah siasatan yang telus dibuat oleh pihak yang berkaitan.

“Mita selaku masyarakat sepatutnya tidak mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh melemahkan atau menghilangkan motivasi petugas kesihatan kita.

“Kita minta perkara tu dihentikan, marilah kita mengamalkan apa yang ada dalam Rukun Negara kita iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|