Minyak masak dalam paket sukar diperolehi – Shahelmey

Minyak masak dalam paket sukar diperolehi – Shahelmey

Kota Kinabalu: Bekalan minyak masak bersubsidi dalam paket satu kilogram sukar diperolehi meskipun ada 36 syarikat pembungkusan semula diberi lesen untuk mengeluarkan produk berkenaan di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengakui perkara itu berdasarkan tinjauannya di sekitar bandar raya ini dan Putatan, dua hari lalu.

Beliau berkata, daripada 10 premis pasar raya yang ditinjaunya hanya sebuah premis didapati ada menjual minyak masak dalam paket.

“Dua hari lalu saya ada melakukan tinjauan spontan ke 10 kedai dan pasad raya sekitar Kota Kinabalu dan Putatan dan memang betul saya mendapati tiada minyak masak paket bersubsidi satu kilogram di sembilan premis,” katanya. ditemui pemberita selepas melancarkan perkhidmatan bas elektrik pertama di Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesukaran pengguna di negeri ini mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi dalam paket satu kilogram.

Di Sabah, katanya ada 36 syarikat pembungkusan semula yang mendapat kuota untuk membungkus minyak masak paket bersubsidi sebelum dihantar kepada pemborong yang mempunyai permit mengedar dan menjual minyak masak paket bersubsidi.

“Perkara ini perlu dilakukan dengan beretika, kita tidak mahu ada pengkhianat yang cuba menyeludup minyak masak paket bersubsidi ini sebab harganya berbanding pasaran komoditi begitu tinggi bezanya.

“Kalau tempoh sekarang minyak masak bersubsidi adalah RM2.50 sekilogram dan minyak sawit dalam botol berharga RM9 sekilogram, jadi ada beza RM6.50. Kita mahu peniaga lebih beretika menjual barangan bersubsidi ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut merayu kepada pengguna berkemampuan agar memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan minyak masak bersubsidi.

Katanya, pengguna juga perlu peka terhadap hak mereka apabila berdepan dengan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara berlebihan dengan alasan harga barangan di seluruh dunia naik.

“Jika pengguna mendapati ada peniaga menaikkan harga barangan keterlaluan, laporkan segera kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|