Kegagalan lampau bukan titik noktah

Kegagalan lampau bukan titik noktah

Kota Kinabalu: Sekadar tiga kepujian dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan gagal dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Itu tidak menghalang cita-cita seorang lelaki yang berasal dari Kampung Lobong-lobong, Kota Belud, di sini, untuk bangkit semula dan melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.
 
Menceritakan pengalaman berharga itu, Pegawai Waran II TLS, Selvester Yatam, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Unit Kapal (KD SERANG) yang berpangkalan di Teluk Sepanggar Kota Kinabalu berkata, ketika menerima keputusan STPM, ibu bapanya masih menaruh harapan kepadanya dan tidak putus-putus memberikan sokongan.
 
Katanya, dia kemudiannya berusaha semula dengan mengambil peperiksaan STPM secara persendirian namun keputusan yang sama iaitu semua mata pelajaran yang diambil gagal.
 
“Lantaran itu, saya pada awalnya sudah memadamkan cita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti yang disifatkan sebagai tidak ada harapan.
 
“Walaubagaimanapun, saya kembali bersemangat untuk melanjutkan pengajian selepas memasuki perkhidmatan Tentera Laut pada tahun 2005 apabila diberi pilihan untuk memilih kepakaran masing-masing,” katanya.

Gambar kenangan Selvester (kanan) bersama rakan ketika selepas menerima Diploma Teknologi Marin (Elektronik) pada Majlis Konvokesyen UTM di Skudai, Johor pada 2010.

Selvester berkata, dia berdepan banyak cabaran sepanjang pengajian di peringkat diploma kerana sukar untuk membiasakan diri selain merasakan kekurangan masa belajar serta terikat dengan tugasan dan arahan pihak atasan.

Namun katanya, dia mengambil inisiatif untuk lebih fokus dalam kelas dan mengambil masa belajar selepas tugasan lain selesai.

Selvester (tepi kanan) ketika dalam pengajian  MBA bersama pensyarah dan pelajar PLUMS Tawau.
 

“Saya mengambil masa tambahan belajar di asrama bermula jam 1 hingga 3 pagi untuk mengulangkaji dan menyiapkan tugasan daripada pensyarah.
 
“Saya akhirnya lega apabila berjaya melepasi pelbagai dugaan dan cabaran semasa melanjutkan pelajaran peringkat Diploma.
 
“Usaha berterusan itu berakhir dengan majlis konvokesyen apabila saya berjaya mengengam segulung Diploma di UTM Skudai, Johor pada tahun 2010,” katanya.
 
Namun, perjuangan Selvester, tidak terhenti setakat itu apabila dia memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda pada tahun 2014.
 
Katanya, program berkenaan adalah tajaan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kegembiraan yang tidak dapat diungkapkan. Selvester (duduk) mengambil gambar kenangan bersama isteri dan anak-anak selepas menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada Majlis Konvokesyen Ums Ke- 22 di Kota Kinabalu pada Mac lalu.

“Ia kerjasama antara pihak ATM dan Unitar International University (UNITAR) dan saya mengambil program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian).
 
“Kali ini saya memilih untuk menyertai Program Pengurusan kerana merasakan ilmu pengurusan ini lebih luas,” jelasnya.
 
Menurutnya, cabaran yang dihadapi pada ketika itu agak berbeza kerana sudah berumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata.
 
Katanya, ia memerlukan usaha pengurusan masa yang bijak dan sistematik bukan saja dalam urusan pekerjaan malah bagi memastikan tanggungjawab terhadap keluarga tidak diabaikan.
 
“Disamping menjalankan tanggungjawab sebagai ketua bahagian dalam jabatan di unit kapal, saya juga berusaha tidak lalai dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa.
 
“Saya juga sentiasa bertekad untuk cekal dan kekalkan momentum untuk tidak hilang fokus dengan pelajaran.
 
“Pada masa sama, pusat pembelajaran pada ketika itu adalah di Kota Kinabalu dan kapal saya pula berada di Sandakan iaitu dengan jarak kira-kira 300 kilometer atau mengambil masa enam jam perjalanan kereta,” katanya.

Selvester berkata, ia tidak sama sekali membuatkannya mengalah dengan jarak yang jauh dan sentiasa berusaha untuk datang ke kelas sekiranya kapal tidak beroperasi.
 
Katanya, usaha berterusan itu sekali lagi membawa kejayaan apabila dia akhirnya menamatkan pengajian selama tiga tahun enam bulan berkenaan.
 
Malah, Ketua Jurutera Elektrik dan Senjata Unit KD Serang TLDM itu mendapat keputusan akhir dengan 3.00 CGPA ke atas dan meraih segulung ijazah pada Majlis konvokesyen di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Kuala Lumpur pada tahun 2017.
 
“Bagi segelintir pihak, meraih segulung ijazah sarjana muda itu sudah cukup. Namun tidak bagi saya apabila terus berjalan maju ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.
 
“Keinginan saya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana terus melonjak apabla menerima tawaran daripada TLDM untuk menyambung pengajian dalam program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di UMS secara separuh masa.
 
“Pengajian di peringkat sarjana adalah tidak sama seperti menyambung pengajian di peringkat diploma dan ijazah kerana perlu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris apabila berada di dalam kelas.
 
“Ia sangat menyukarkan saya, apatah lagi kami diminta membuat pembentangan hasil kajian atau kertas kerja menggunakan perantaraan antarabangsa ini.
 
“Namun saya cekalkan diri dan sentiasa memperbaiki diri dalam berkomunikasi serta penulisan dalam Bahasa Inggeris melalui pembacaan buku-buku, menulis maklumat serta selalu mendengar cerita dan radio dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Menurutnya, dia sekali lagi mencapai kejayaan apabila berjaya menamatkan pengajian ini pada tahun 2020.

“Namun memandangkan seluruh negara menghadapi pandemik Covid-19, saya serta seluruh pelajar UMS yang lain diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS di Di Dewan Canselor pada Mac lalu,” katanya.
 
Sehubungan itu, Selvester menyarankan semua pihak yang berdukacita akibat keputusan yang kurang memuaskan atau mungkin gagal dalam peperiksaan SPM atau STPM untuk terus berusaha dan tidak putus asa.
 
“Pesanan saya kepada mereka yang di luar sana adalah jika kita menemui kegagalan dalam hidup, itu bukan bererti itu noktah terakhir kita.
 
“Kita mesti bangkit semula untuk sentiasa memperbaiki potensi diri. Saya menemui banyak cabaran dalam kehidupan sehingga saya hampir berputus asa dan merasakan tiada harapan untuk berjaya dalam kehidupan.

“Namun Tuhan memberi peluang kedua untuk saya menebus kembali kegagalan-kegagalan lama.
 
“Saya boleh umpamakan keberjayaan seseorang itu ialah seperti membentuk sebilah parang yang sangat tajam. Parang itu dibentuk daripada batang besi lalu ditukul, dibakar dan diasah lalu menjadikannya sebilah parang yang sangat tajam,” katanya.

Selvester berkata, kejayaan terbentuknya seseorang yang hebat itu adalah hasil dari pelbagai kesukaran, keperitan dan tentangan yang dihadapi sehingga sering kali mengeluarkan air mata.

Katanya, apa yang dijadikan azimat dan semangat baginya adalah bekas Laksamana Pertama dari Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM, Dr. Haji Sutarji Haji Kasmin sebagai idola dan sumber inspirasi kepada dirinya.
 
Dalam pada itu, UMS akan mengadakan Majlis Konvokesyen yang ke-23 pada 25 hingga 27 Jun depan dengan menyaksikan seramai 4,319 graduan tahun 2021 diraikan di pentas Dewan Canselor.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|