Bas elektrik pertama di Sabah beroperasi di Kota Kinabalu

Bas elektrik pertama di Sabah beroperasi di Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Perkhidmatan bas elektrik pertama di Sabah dikenali sebagai eBusKK diperkenalkan sebagai inisiatif baharu menambah baik sistem pengangkutan awam di samping mengurangkan pelepasan karbon daripada asap kenderaan di bandar raya ini.

Inisiatif itu yang dilaksanakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Qhazanah Sabah Berhad (QSB) dilancarkan hari ini dengan sebuah bas sebagai percubaan selama enam bulan sebelum diperluaskan mulai tahun depan.

Shahelmey mencuba perkhidmatan bas elektrrik dari SICC ke Menara Kinabalu.

Pengarah Eksekutif QSB, Mohd Shukor Abdul Mumin, berkata sepanjang tempoh percubaan, bas berkenaan yang boleh memuatkan 54 penumpang akan menyediakan perkhidmatan secara percuma di beberapa laluan utama secara bergilir.

Katanya, sebagai permulaan, bas berkenaan akan beroperasi di antara Sepanggar dan Menara Kinabalu di Likas yang dikenali sebagai Laluan 101 atau Laluan Sepanggar 6B pada setiap Isnin hingga Khamis.

“Bas elektrik adalah sebahagian daripada sistem pengangkutan bersepadu di Sabah. Sebagai percubaan selama enam bulan hanya satu bas digunakan di bandar raya ini untuk kita mengumpul data berkaitan.

“Laluannya akan digilirkan antara sebulan hingga dua bulan bermula di Sepanggar – Menara Kinabalu, sebelum ke pusat bandar, Putatan dan lain-lain laluan utama di bandar raya ini.

“Sepanjang percubaan tiada tambang dikenakan. Apabila tempoh ini habis, kita akan lihat kemungkinan mengoperasikan antara lima hingga 20 bas pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran bas elektrik berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Shahelmey turut mencuba perkhidmatan berkenaan dari SICC ke Menara Kinabalu di Likas sebelum berpatah balik.

Mohd Shukor berkata, bas yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya itu berharga kira-kira RM1.2 juta.

Katanya, sebelum beroperasi QSB melakukan pelbagai persiapan teknikal dan keselamatan sejak Oktober lalu, termasuk kajian mekanikal, kesesuaian produk, sokongan vendor, infrastruktur dan sistem kecekapan untuk menyokong perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada.

Inisiatif berkenaan katanya adalah usaha kolaboratif QSB dengan Gemilang Coachwork Sdn Bhd, syarikat pembuat badan bas aluminium dan elektrik.

“eBusKK adalah maklum balas QSB selepas ditugaskan untuk membantu menangani kesesakan lalu lintas bandar raya melalui perkhidmatan pengangkutan awam mesra alam sekitar.

“Melalui eBusKK, kita menyokong usaha kerajaan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam bandar raya dengan memperkenalkan kenderaan bebas pencemaran,” katanya.

Bas berkenaan dilengkapi teknologi terkini termasuk sistem pengumuman perhentian bas, kemudahan untuk pengguna orang kurang upaya (OKU) dan warga tua, selain CCTV, sistem perayauan global (GPS) dan sistem pemantauan pemandu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|