Tamparuli berpotensi jadi pusat pelancongan di Sabah

Tamparuli berpotensi jadi pusat pelancongan di Sabah

Tuaran: Tamparuli berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan berikutan banyak tempat menarik yang ada di daerah kecil ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, banyak tempat menarik boleh dijadikan tarikan pelancong terutama selepas pintu sempadan dibuka bermula 1 April ini.

“Hari ini saya melawat Daerah Kecil Tamparuli bermula ke kawasan jambatan Tamparuli untuk melawat aktiviti-aktiviti tarikan pelancong dan saya amat tertarik hati dengan persembahan atau aktiviti yang mereka lakukan di hujung tapak jambatan ini.

“Jambatan ini satu ikonik negeri Sabah bukan saja daerah Tuaran tetapi juga terkenal di seluruh Malaysia dan setiap pelancong yang datang ke daerah ini mesti mahu melihat jambatan ini dan sudah tentu lebih menarik dengan adanya aktiviti persembahan kebudayaan yang dilakukan di sini.

“Selain itu, banyak lagi tempat tarikan pelancong seperti Bukit Perahu yang saya lawat tadi,” katanya dalam lawatan kerjanya ke Tamparuli, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, menerusi aktiviti pelancongan yang ada akan memberi pulangan semula bukan saja kepada pemain industri tetapi juga rakyat di negeri ini khususnya di Tamparuli.

“Di Tamparuli ini memang banyak yang perlu kita lakukan walaupun Daerah Kecil Tamparuli ini nampak pembangunannya yang begitu rancak tetapi masih banyak yang perlu kita lakukan.

“Ada banyak tempat menarik dan ini perlu dirancakkan kerana ia boleh memberi pulangan hasil tambahan bukan saja kepada pengusaha tetapi juga rakyat kita kerana aktiviti pelancongan ini juga memberi faedah kepada lain-lain contohnya penjual sayur, penjual ikan, pengangkutan dan lain-lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak tempat yang akan dibangunkan untuk aktiviti pelancongan di daerah kecil itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|