Sembilan selamat bot karam di Tawau

Sembilan selamat bot karam di Tawau

Tawau: Sembilan lelaki diselamatkan selepas bot yang dinaiki karam dalam kejadian di perairan Tinagat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, semua mangsa lelaki berusia antara 30 hingga 51 tahun itu diselamatkan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.33 pagi.

“Menurut laporan sebuah bot hampir karam dan seramai lima anggota dikejar ke lokasi kejadian untuk mengambil maklumat dan seterusnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dilakukan di kawasan pesisiran pantai Kampung Tinagat.

“Dilaporkan seramai sembilan mangsa terlibat berjaya diselamatkan pasukan Maritim Malaysia dan dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua mangsa seterusnya dibawa ke pos kawalan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya lagi, operasi SAR kemudian ditamatkan pada jam 4.30 petang tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|