Lebih 2,500 peluang pekerjaan ditawarkan sempena HTSMJ dan GiG-SMJ

Lebih 2,500 peluang pekerjaan ditawarkan sempena HTSMJ dan GiG-SMJ

Kota Kinabalu: Pelbagai program terbuka akan diadakan bermula esok sehingga Rabu depan menerusi Showcase Setahun Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Career GIG-SMJ sempena sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (HTSMJ).

Program itu akan dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Selasa di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Selasa depan.

Menurut kenyataan media Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri, Showcase Setahun SMJ itu bertujuan mempamerkan
pencapaian inisiatif Hala Tuju SMJ selama setahun.

“Showcase Setahun SMJ melibatkan 28 pempamer terdiri daripada kementerian, jabatan, agensi negeri dan Persekutuan, syarikat pelabur, syarikat minyak dan gas berlangsung selama tiga hari bermula 28 Mac ini di Dewan Kinabatangan II, bermula 9 pagi hingga 6 petang.

“Bagi orang ramai dan belia yang masih mencari peluang pekerjaan, program Career Gig-SMJ yang akan di Dewan Kinabatangan III, SICC pada 29 Mac, mulai 9 pagi hingga 5 petang,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, lebih 2,500 jawatan kosong ditawarkan oleh majikan dari pelbagai sektor dan industri di negeri ini.

“Antaranya, Jurutera Projek, Jurutera Mekanikal, Jurutera Elektrik, Pereka Grafik, Pengurus Sumber Manusia, Agen Takaful, Konsultan Spa, Kerani, Pengurus Akaun dan Pengurus Pemasaran.

“Program ini anjuran Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Antara majikan yang menawarkan peluang pekerjaan adalah syarikat swasta serta agensi perhotelan terkemuka seperti SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd, SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd, Talent Suites Sdn Bhd, Agensi Pekerjaan Kaizen Sdn Bhd, Petra Resources Sdn Bhd, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Zarrich Empire Sdn Bhd, BTC Maju Holdings Sdn Bhd, Marriott Hotel, Sutera Harbour Resort, Allianz General Insurance Co (M) Bhd, Mosulu Construction & Engineering dan Ibis Styles Hotel.

Sementara itu, sepanjang program itu berlangsung, pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan robot pertama milik kerajaan Sabah dalam acara ‘Meet and Greet Pepper’ dalam inisiatif pendigitalan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk hadir kerana mereka juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah sepanjang tiga hari showcase dijalankan dan pelbagai hadiah menarik disediakan penganjur.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|