Tak mahu kalah walau ketinggalan

Tak mahu kalah walau ketinggalan

Kota Kinabalu: Walaupun ketinggalan jaringan pada separuh masa pertama, Sabah FC tidak mahu mengalah, malah kekal bersemangat untuk mencari gol hingga akhirnya berjaya menewaskan Melaka United FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata sikap positif ditunjukkan anak buahnya itu memberi kelebihan kepada pasukan Sang Badak hingga berjaya mengekalkan kemenangan untuk kali ketiga berturut-turut.

Jelasnya, tiada strategi yang agak susah untuk dilakukan pemain tetapi beliau memuji anak buahnya yang menunjukkan kesungguhan dalam permainan apabila ketinggalan.

“Namun kita harus memperkemaskan lagi permainan terutama tidak harus ketinggalan tetapi sikap positif, sikap tidak mengalah pemain harus diberi pujian.

“Sama ada yang bermain dari mula atau sesiapa yang menggantikan terutama Amri Yahyah, Irfan Fazail, Farhan Roslan dan Hanafie Tokyo, mereka memberi persembahan cukup baik.

“Ini beri kita kelebihan apabila pada minit-minit terakhir dengan keadaan padang yang tidak begitu elok, kita mengasak dan berjaya mendapat gol kemenangan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Mengenai dakwaan pemain kurang ‘fit’ ketika aksi malam tadi, Kim Swee menafikan perkara itu, sebaliknya beliau berkata keadaan padang yang becak selain faktor kepenatan mempengaruhi permainan pemain.

“Kalau dikatakan tidak ‘fit’ tidak benar, bagi saya keadaan padang amat susah untuk kita bermain lebih-lebih lagi sehingga hari ini kita bermain lima ‘game’ dalam 15 hari, jadi bukan masalah ‘fit’.

“Saya rasa kalau robot main lima ‘game’ dalam 15 hari pun tentu akan hadapi masalah. Jadi, apabila kata tidak ‘fit’ saya percaya itu bukan perkara yang kita lalui tetapi pemain kepenatan, kita harus tahu di situ,” katanya.

Namun begitu katanya, pemain Sabah tetap menunjukkan kesungguhan walaupun kepenatan dan mampu mendapatkan tiga mata untuk pasukan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Asri Ninggal, menyalahkan kegagalan anak buahnya untuk mencipta kemenangan walaupun sudah mendahului perlawanan pada separuh masa pertama.

Beliau berkata, Melaka United memulakan permainan dengan baik namun banyak peluang tidak diambil dengan baik bagi menambah jaringan.

Malam tadi, Amri sekali lagi menjadi wira Sang Badak apabila menjaringkan dua gol pada minit ke65 dan ke-90 untuk menewaskan Melaka 2-1 sekali gus menghadiahkan tiga mata kepada kepada Sabah FC.

Gol tunggal Melaka United pula dijaringkan pemain importnya, Ifedayo Omosuyi pada minit ke-23.

Berikutan keputusan itu, Sabah FC terus kukuh di tangga kedua carta Liga Super 2022 dengan memperolehi 31 mata dalam 14 perlawanan, manakala Melaka United kekal di tangga ketujuh dengan 16 mata daripada 13 perlawanan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|