Lima pemandu mabuk ditahan

Lima pemandu mabuk ditahan

Tawau: Seramai lima pemandu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi di Jalan Chong Thein Vun, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, operasi yang diketuai Inspektor Hamka Ab Rashid itu berjaya mengesan semua pemandu terbabit memandu di bawah pengaruh alkohol yang melebihi had ditetapkan.

“Semua pemandu terbabit dikesan melakukan kesalahan memandu secara melulu dan merbahaya.

“Hasil ujian saringan mendapati, kelima-lima pemandu terbabit dikesan dengan bacaan kandungan alkohol melebihi 50 miligram dalam 100 mililiter darah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jasmin berkata, semua individu yang ditahan kemudiannya dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Jasmin berkata, dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan pelbagai jenis saman kepada pesalah lalulintas lain.

Katanya, antara kesalahan dikesan adalah tiada lesen memandu, ubahsuai ekzos dan beberapa kesalahan lalu lintas yang lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|