Beri penerangan RUU Anti Lompat Parti kepada rakyat – Pejuang Sabah

Beri penerangan RUU Anti Lompat Parti kepada rakyat – Pejuang Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan digesa memberi penerangan berhubung isi kandungan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti kepada seluruh rakyat di negara ini.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Sabah, Winston@Hassnal Majuning berkata, keputusan untuk mewujudkan RUU Anti Lompat Parti disokong secara rasmi oleh Pejuang Sabah.

Winston bagaimanapun berkata, bagi memastikan RUU itu berfungsi dengan baik ia wajib diperhalusi sebaik mungkin bagi memastikan ia berkesan dan kekal.

“Jika RUU ini masih mengalami kecacatan, ini akan menimbulkan masalah baharu dalam membentuk sebuah kerajaan yang bakal ditadbir pada masa hadapan.

“Penerangan umum juga wajib diedarkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini satu perkara yang penting untuk rakyat dapat memahami sepenuhnya isi kandungan RUU Anti Lompat Parti berkenaan.

“Kami berharap pihak kerajaan lebih telus bagi menyampaikan perincian kandungan RUU ini kepada rakyat dan kita mahu memastikan rakyat benar-benar tahu kandungannya bagi mengelakkan wujud salah faham rakyat dalam soal perkara baharu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, pihak institusi mahkamah diwajibkan memiliki kuasa mutlak dalam menegakkan kekuatan RUU berkenaan dan bebas dari diganggu gugat oleh pihak kerajaan atau mana-mana individu di dalam negara ini.

“Kita amat berharap insitusi kehakiman memiliki kekebalan lebih jelas. Kita tidak mahu RUU ini wujud namun fungsinya masih mampu dicairkan oleh orang-orang yang berkepentingan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha meluluskan RUU itu adalah sebagai satu langkah baharu pemimpin di negara ini dan Pejuang Sabah turut memiliki dasar utama dalam mendukung inspirasi RUU Anti Lompat Parti berkenaan.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga di Dewan Rakyat, pada Khamis lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|