Syarikat ‘startup’ teknologi Sabah akan tandatangan MoU di Melbourne

Syarikat ‘startup’ teknologi Sabah akan tandatangan MoU di Melbourne

Kota Kinabalu: Sabah berharap untuk membangunkan industri halal hingga ke peringkat global menggunakan platform digital CoreHalal.

Platform berkenaan dibangunkan syarikat pembangunan aplikasi bertapak di Kota Kinabalu, Synxsoft Sdn Bhd yang menumpukan bidang pengurusan risiko dan latihan berdasarkan garis panduan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Yakub (tengah) dan Setiausaha Tetap KSTI, Zainudin Aman (kiri) bersama Mazrie (kanan) pada sidang media berkaitan CoreHalal di Kota Kinabalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, berkata CoreHalal mempunyai potensi yang besar memandangkan ia adalah satu-satunya platform digital yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu.

“Penggunaan platform digital seperti ini dalam perniagaan bukan saja memperbaiki pembangunan industri halal di Sabah, malah turut memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan merebut peluang menerusi pembangunan teknologi.

“Dengan platform digital CoreHalal, ia akan menyediakan panduan kepada usahawan dalam proses mendapatkan pengiktirafan halal dan membantu memperbaiki keberkesanan perniagaan halal mereka secara digital.

“Ini kerana platform ini bukan saja memfokuskan kepada sektor makanan dan minuman tetapi juga termasuk semua sektor yang disenaraikan di bawah industri halal seperti farmaseutikal, barangan pengguna dan kosmetik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Yakub menambah, kerajaan negeri akan terus menyokong CoreHalal untuk bekerjasama dengan rakan strategik bukan saja di Malaysia tetapi juga di luar negara seperti Australia, Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Emeriah Arab Bersatu / Dubai.

Katanya, pembangunan pesat industri halal Malaysia berjaya menembusi pasaran global khususnya dalam sektor makanan halal dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan berkaitan barangan dan perkhidmatan halal.

“Pembangunan ini menunjukkan bahawa industri halal Malaysia menerima maklum balas yang positif dalam negara dan juga di peringkat global.

“Ia menawarkan pelbagai peluang kepada pengeluar produk dan perkhidmatan memandangkan permintaan untuk kedua-duanya meningkat sejajar dengan peningkatan populasi dunia dan penerimaan pengguna bukan Islam terhadap industri ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Synxsoft, Mazrie Mahat, berkata pihaknya berterima kasih kepada agensi kerajaan yang membantu mereka dalam membangunkan platform berkenaan.

“Kami juga berterima kasih atas sokongan penuh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) daripada mula pembangunan platform ini.

“Kami mahu terus bergerak ke hadapan dengan meluaskan lagi pasaran CoreHalal ke Australia pada September depan dan Jepun pada Oktober.

“Adalah diharapkan dengan inisiatif seperti ini, ia boleh memberi inspirasi kepada pemula teknologi tempatan di Sabah untuk bergerak ke hadapan dan meluaskan pasaran mereka ke peringkat global,” katanya.

Pada 1 September depan, Synxsoft akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Halal Development Corporation (HDC) sempena World Halal Business Circuit di Melbourne, Australia.

Antara fungsi HDC ialah menerajui standard halal termasuk proses audit dan verifikasi sijil halal bagi melindungi integriti halal, mempengaruhi pembangunan industri halal untuk membolehkan syarikat yang memasarkan produk halal menyertai pasaran global, membangun dan mempromosi jenama halal Malaysia, mempromosi konsep produk dan perkhidmatan halal di Malaysia.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Pusat Ekonomi dan Inovasi Kreatif Sabah (SCENIC), Viviantie Sarjuni, berkata MoU yang akan ditandatangani di Australia itu dapat mempromosi produk halal digital Malaysia ke seluruh dunia.

“Kita menjangkakan jumlah minimum RM500,000 hasil tahunan daripada MoU itu.

“Bagi menjayakannya, SCENIC membantu CoreHalal dari segi penyediaan subsidi ke Australia dan membantu mereka dalam mempromosikan CoreHalal dan penyelesaian mereka secara global,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|