PRU15: Kekalkan perpaduan hindari perpecahan – PAS Sabah

PRU15: Kekalkan perpaduan hindari perpecahan – PAS Sabah

Lahad Datu: PAS Sabah menyeru semua parti politik mesra kerajaan supaya mengekalkan perpaduan dan menghindari perpecahan bagi mencapai kemenangan.

Ketua Penerangan PAS Sabah, Ahmad Dullah, berkata agenda perpaduan parti politik penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk memastikan kemenangan dan mengelakkan pertembungan seperti yang berlaku pada PRU-14.

“Hanya ini sahaja formula bagi menghalang kemenangan Parti Warisan (WARISAN) dan Pakatan Harapan (PH) serta parti gabungannya. Kesan 22 bulan PH memerintah sangat memeritkan kehidupan rakyat.

“Hanya dengan cara menyatukan semua pihak untuk mendukung agenda perpaduan ini dan bersama membina semula negara Malaysia yang sejahtera dapat menghalang PH memerintah semula,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahmad menegaskan PAS mengutamakan prinsip perpaduan yang digariskan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu Adil Kepada Semua dan Satu Keluarga Malaysia.

Dalam kenyataan sama, Ahmad berkata pihaknya menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin agar semua pihak memberi fokus agenda perpaduan dalam PRU-15.

Katanya, ia selaras dengan saranan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin agar pertembungan yang tidak perlu harus dielakkan dalam pilihan raya kali ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|