Hukuman 12 tahun penjara, denda RM210 juta terhadap Najib kekal

Hukuman 12 tahun penjara, denda RM210 juta terhadap Najib kekal

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Keputusan itu dibuat panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas selesai prosiding rayuan akhir Najib petang ini.

Mereka membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Dengan keputusan itu, Najib mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa hari ini.

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram serta memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Kemudian pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib atas kesalahan itu selepas selesai mendengar rayuannya.

Najib seterusnya memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk rayuan akhir dan mahkamah menetapkan 10 hari bermula 15 Ogos 2022 untuk mendengar rayuan akhirnya.

Ahli Parlimen Pekan itu cuba menangguhkan keputusan rayuan akhir terhadapnya, namun usaha itu gagal sebelum panel lima hakim petang ini memutuskan sabitan hukuman penjara dan denda terhadapnya dikekalkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|