Tuduhan projek IC terhadap Tun M hanya taktik sekat sokongan PEJUANG

Tuduhan projek IC terhadap Tun M hanya taktik sekat sokongan PEJUANG

Kota Kinabalu: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Sabah menganggap tuduhan projek IC (kad pengenalan) yang dilontarkan terhadap Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai taktik pihak tertentu untuk menyekat sokongan rakyat Sabah kepada parti itu.

Ketua Penerangannya, Winston @ Hasnnal Majuning berkata, PEJUANG dilihat sudah mula mendapat tempat di hati rakyat Sabah dan isu itu salah satu taktik bagi mereka yang ketandusan isu.

“Masalah IC di Sabah bukanlah satu isu yang baharu tetapi sudah terlalu lama dijadikan isu terutama ketika menjelangnya pilihan raya.

“Isu ini sebenarnya telahpun diselesaikan melalui keputusan kerajaan Persekutuan yang menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2012 dan laporan ini telah siap pada 2014.

“Tun Mahathir sendiri telah berada di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk memberi keterangan mengenai perkara ini dan isu ini amat jelas dipolitikkan oleh individu tertentu bagi mendapat sokongan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap laporan akhbar tempatan mengenai kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang mendakwa Tun Mahathir memberikan banyak kad pengenalan di Sabah.

Tambah Winston lagi, melalui keterangan Tun Dr Mahathir berkaitan isu kerakyatan yang berlaku di Sabah adalah melalui proses yang dibenarkan oleh undang-undang yang ada dalam perlembagaan.

“Untuk sedikit pencerahan soal kewarganegaraan dalam negara ini, kita memiliki undang-undang perlembagaan iaitu Bab 1 Pemorelahan Kewarganegaraan Perkara 19.

“Melalui perundangan ini kerajaan boleh melangsungkan pertimbangan yang munasabah mengenai pemberian kewarganegaraan di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Winston berkata, masalah berkaitan kad pengenalan yang dimainkan individu tertentu amat jelas mahu mendapatkan sokongan undi rakyat Sabah.

“Kami PEJUANG Sabah menuntut agar individu-individu tertentu (ahli-ahli politik) berhentilah mengamalkan cara berpolitik yang boleh merosakkan pemikiran rakyat.

“Kita bimbang satu masa nanti mereka yang suka memainkan isu ini akan menjilat ludah mereka sendiri seandainya mereka berada dalam kerajaan.

“Apa yang pasti untuk mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) ini bukan melalui amalan berasa jaguh dalam menyelesaikan masalah tetapi semua pihak bermuafakat menyelesaikan isu PATI di Sabah.

“Tidak semua perkara harus dipolitikkan untuk diselesaikan tetapi ada juga perkara yang harus ditangani bersama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|