Labuan catat 96.75 peratus lulus STPM 2021

Labuan catat 96.75 peratus lulus STPM 2021

Labuan: Labuan mencatat 96.75 peratus lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Kohort 2021/2020 dengan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) 2.50.

Daripada 154 calon dari pulau ini yang menduduki peperiksaan itu, seramai 41 calon mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas atau 26.62 peratus berbanding 36 calon bersamaan 26.47 peratus pada tahun lalu.

Pelajar terbaik STPM 2021 Labuan, Nurdiana Mohd Ali (dua kiri) bersama Sawal Salleh (tengah), Saminan Sabtu (kiri) dan Yusuf.

Nurdiana Mohd Ali diumumkan sebagai pelajar terbaik STPM 2021 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dengan pencapaian PNGK 3.92, manakala Norhalyna dan Dahlia Farisah Derin masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga terbaik dengan mendapat PNGK 3.84.

Bagi pencapaian mengikut mata pelajaran, subjek Kimia, Matematik Tambahan dan Fizik mencatat keputusan 100 peratus lulus, manakala mata pelajaran yang lain turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohammad dalam ucapan pengumuman STPM baru-baru ini turut merakamkan terima kasih kepada semua petugas peperiksaan STPM 2021 yang menjalankan tugas dengan cemerlang dan dapat melaksanakan urusan pengendalian STPM 2021 walaupun berdepan dengan situasi pandemik Covid-19.

“Saya berharap agar kejayaan calon STPM tahun lalu akan menjadi pendorong kepada pelajar lain untuk mencipta kecemerlangan yang lebih hebat pada masa akan datang.

“Saya yakin kejayaan yang dikecapi adalah hasil daripada usaha dan perancangan yang rapi pihak sekolah, ibu bapa, pelajar dan guru-guru,” katanya.

Pengumuman secara dalam talian dipancarkan khas dari Kota Kinabalu dengan disaksikan semua pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan dan pelajar yang menduduki peperiksaan STPM Kohort 2021/2020.

Turut hadir dalam pengumuman itu ialah Ketua Penolong Pengarah, Unit Penilaian dan Pentaksiran, Sawal Salleh; Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam Yasim; Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan, Saminan Sabtu dan Yang DiPertua PIBG SMK Labuan, Yusuf Chuchu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|