Penampang: “Kalau hujan, terpaksalah jalan kaki,” itu luahan penduduk dari Kampung Terian, Marin Bianis, 49, yang terpaksa berjalan kaki untuk keluar ke Pekan Donggongon, di sini, demi mendapatkan barang keperluan.
Ia berikutan keadaan jalan sepanjang lebih 30 kilometer dari Pekan Donggongon ke Kampung Terian masih dalam keadaan tidak sempurna.
Laluan mencabar bertanah merah, berlumpur dan berbatu besar selain penduduk terpaksa menyeberangi dua sungai yang hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda ketika keadaan cuaca baik.
Marin berkata, selain terpaksa berjalan kaki, mereka juga terpaksa menggalas bakul untuk membawa barangan yang dijual di Tamu Pekan Donggongon yang kemudian diisi pula dengan barang keperluan yang dibeli dari pekan berkenaan.
“Kami terpaksa jalan kaki kalau mahu turun ke Pekan Donggongon dan kalau laju, lima jam saja perjalanan tetapi kalau lambat, lebih daripada itu.
“Biasanya kalau turun ke pekan, kami bawa barang jualan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang ‘disikut’ di belakang dan apabila balik, kami beli beras dan barang keperluan lain untuk dibawa pulang,” katanya ketika ditemui di Kampung Terian, di sini, baru-baru ini.
Katanya lagi, pendapatan mereka menjual hasil tanaman di Pekan Donggongon tidak seberapa, menyebabkannya kurang berbaloi untuk menyewa kenderaan.
“Pendapatan kurang daripada RM100, untuk sewa kenderaan RM50 jadi tidak berbaloi untuk menyewa. Sebab itu kami jalan kaki saja kalau pergi Donggongon.
“Lagipun, biasanya kami akan bermalam di rumah anak yang ada di Donggongon, biasanya dalam dua atau tiga hari sebelum pulang semula ke kampung,” katanya.
Marin berkata, walaupun sudah menjadi rutin pergerakan mereka dengan berjalan kaki ke Pekan Donggongon namun beliau masih berharap jalan ke kampung mereka dibaiki.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Terian, Mohd Fazil Hoyak, pula berharap supaya akses jalan ke kampung itu dibaiki bagi memudahkan guru-guru berulang alik dengan mudah ke sekolah berkenaan.
“Bukan saja demi kemudahan penduduk kampung tetapi juga untuk kemudahan warga SK Terian termasuk guru dan muridnya jika ingin turun ke bandar Kota Kinabalu atau Pekan Donggongon.
“Ketika ini, kami terpaksa menggunakan motosikal untuk keluar dan masuk SK Terian kerana laluan memang tidak boleh dilalui kenderaan biasa melainkan pacuan empat roda,” katanya.
Katanya lagi, dengan adanya akses jalan yang sempurna ia akan memudahkan infrastruktur lain dibawa masuk terutama bekalan air dan elektrik.
“Buat masa ini kami menggunakan tenaga solar dan bekalan air graviti yang ditumpang dari penduduk kampung. Selain itu, pelbagai kemudahan untuk tujuan pembelajaran juga diperlukan.
“Jika akses jalan sempurna, saya yakin semua keperluan kemudahan infrastruktur yang lain dapat dibawa masuk,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Fazil berharap luahan warga sekolah dan penduduk dapat didengar oleh pihak berkaitan demi kemudahan semua pihak di kawasan itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking berkata, peruntukan sebanyak RM102 juta sudahpun diluluskan pada 2019 daripada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf jalan ke Kampung Terian dan kawasan berhampiran.
“Selepas pertukaran kerajaan pada Februari 2020 dan pandemik Covid-19 bermula kita tidak berputus asa mendapatkan maklum balas mengenai perkembangan status naik taraf jalan itu dan dimaklumkan bahawa usaha untuk tender dibuka pada 2021 selepas mengambil kira keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.
“Tetapi sekarang, masih tidak ada perkembangan dan saya dengar ia masih di bawah Kementerian Kewangan serta masih tunggu proses kelulusan untuk menaik taraf jalan ke Terian,” katanya.
-Deasoka