Kerajaan negeri lulus tanah rizab kampung, geran NT penduduk Bandau

Kerajaan negeri lulus tanah rizab kampung, geran NT penduduk Bandau

Kota Marudu: Sebanyak 51 geran tanah anak negeri (NT) dengan keluasan 98 hektar diluluskan kepada rakyat di kawasan Bandau, di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia menunjukkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) sentiasa sensitif terhadap keperluan rakyat.

Hajiji menyerahkan pewartaan Rizab Kampung bagi Kampung Torintidon kepada JPKK Bandau di Kota Marudu.

“Ini hanya untuk Bandau dan kita juga buat yang sama untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lain di Kota Marudu selepas ini,” katanya pada program bertemu rakyat di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda; ADUN Tandek, Hendrus Anding; Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong; Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew dan Pengarah Urusan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga bersetuju agar tujuh penempatan dalam kawasan Sawit Kinabalu, di sini, diasing dan diwartakan sebagai rizab kampung.

Kampung terbabit ialah Bukit Lalang, Bengkongan, Langkon Baru, Minansad, Sungoi Laut, Tonsom, Muhibbah dan Toporoi.

Pada masa sama, Hajiji berkata dua kampung di DUN Bandau turut diwartakan sebagai rizab kampung iaitu Torintidon (11.49 hektar) dan Asin-Asin (10.19 hektar).

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan RM5 juta untuk melebarkan jalan dua hala bagi mengatasi kesesakan trafik di pekan Kota Marudu.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri meluluskan pembinaan jambatan paip sepanjang 100 meter dengan kos RM1.6 juta di Kampung Simpangan Sungai Bandau untuk mengatasi masalah bekalan air di daerah ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Bandau dan diberikan taklimat mengenai perancangan jangka pendek dan panjang untuk mengatasi masalah air.

“Kita berharap infrastruktur ini dapat membantu mengatasi masalah bekalan air di daerah ini.

“Saya juga sudah bercakap dengan Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semalam.

“Saya memberi jaminan semua permintaan untuk pembangunan akan dipertimbangkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|