Kibarlah Jalur Gemilang, bendera Sabah di setiap premis – Shahelmey

Kibarlah Jalur Gemilang, bendera Sabah di setiap premis – Shahelmey

Putatan: Pemilik premis perniagaan di negeri ini diseru untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah walaupun tiada tindakan denda dikenakan terhadap mereka yang tidak mengibarkan bendera sempena Bulan Kemerdekaan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa menyeru kepada pemilik premis perniagaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di premis masing-masing.

Shahelmey menyempurnakan Konvoi Merdeka Daerah Putatan 2022 di Kampung Sipanggil, Putatan.

“Kalau di Sabah setakat saya tahu belum ada lagi peruntukan atau penguatkuasaan denda sedemikian (denda pemilik premis tidak kibar bendera).

“Namun kerajaan melalui PBT sentiasa menyeru kepada pemilik premis turut serta menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai satu tanda rasa kecintaan terhadap negeri dan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Konvoi Merdeka Daerah Putatan 2022, di Kampung Sipanggil, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pemilik premis di negeri ini akan dikenakan denda jika tidak mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing seperti yang dilakukan di Perak.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta supaya pemilik premis atau individu mengibarkan bendera dilakukan secara teratur dan rasa hormat kerana ia adalah simbol kedaulatan negara.

Sebelum itu, beliau memaklumkan tinjauannya di sekitar Pekan Putatan menunjukkan usaha mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah mendapat sambutan daripada orang ramai termasuk premis perniagaan.

“Ada beberapa kedai kita lihat sudahpun mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan Sabah tetapi ada juga yang belum dan kita ambil kesempatan untuk agihkan bendera kepada mereka untuk menghiasi premis masing-masing sekali gus menyemarakkan bulan kemerdekaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|