Maritim Malaysia lancar Semarak Merdeka bersama komuniti felda

Maritim Malaysia lancar Semarak Merdeka bersama komuniti felda

Tawau: Sempena sambutan Kemerdekaan ke-65, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau melancarkan Program Semarak Merdeka di Felda Gugusan Umas, di sini, Sabtu lalu.

Program yang menyasarkan komuniti felda setempat ini diadakan bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan Hari Kebangsaan yang akan diraikan pada 31 Ogos ini.

Maritim Malaysia lancar Semarak Merdeka bersama komuniti felda

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, program Semarak Merdeka tahun ini agak berlainan kerana memilih komuniti felda yang melibatkan penduduk felda, warga Tadika Kemas Felda Umas, komuniti nelayan setempat dan warga Zon Maritim Tawau.

Katanya, pemilihan komuniti felda adalah bagi mempromosikan peranan dan tugas Maritim Malaysia sebagai agensi keselamatan ke kawasan-kawasan pedalaman di negeri ini.

“Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah Konvoi Merdeka, gotong royong Perdana Tabika Kemas Felda Umas, penyerahan Jalur Gemilang, kempen kibarkan Jalur Gemilang dan aktiviti riadah bersama komuniti setempat.

“Objektif utama program ini diadakan bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan masyarakat serta mengukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian budaya rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihak Zon Maritim Tawau turut merakamkan penghargaan atas sambutan yang menggalakkan terutama kepada Ketua Kampung Felda Gugusan Umas, Otoh Kanus dan Penyelia Tabika
Kemas Felda Umas, Samsuria Nanang serta seluruh komuniti felda yang turut serta bagi menjayakan Program Semarak Merdeka pada tahun ini.

Katanya, Maritim Malaysia sentiasa mengekalkan hubungan bersama masyarakat setempat dalam melaksanakan peranan tugas sebagai agensi keselamatan.

“Program diperingkat komuniti dilihat
mampu untuk meningkatkan lagi silaturahim Keluarga Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|