Syarikat Singapura minat tambah pelaburan sektor pelancongan di Sabah

Syarikat Singapura minat tambah pelaburan sektor pelancongan di Sabah

Kota Kinabalu: Sebuah syarikat dari Singapura berminat untuk menambah pelaburan dalam sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, syarikat itu bercadang untuk membangunkan sebuah resort dilengkapi dengan kemudahan hotel bertaraf lima bintang dan taman tema.

Jafry ketika bertemu dengan Sam Goi di Singapura baru-baru ini.

Bagaimanapun, Jafry berkata, kementerian akan meneliti terlebih dahulu cadangan untuk membangunkan resort memandangkan syarikat terbabit memilih kawasan yang berada di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah (TTS).

“Kita perlu melihat perkara ini terlebih dahulu termasuk melihat bagaimana pendekatan terbaik dalam membawa pelaburan ke tempat berkenaan kerana ia adalah kawasan taman yang dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi memaklumkan antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Pengerusi Eksekutif, GSH Corporation, Datuk Sam Goi ketika berada di Singapura, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, hasrat untuk membangunkan taman tema pertama di Sabah juga turut dibincangkan.

Katanya, industri taman tema semakin meningkat dan dengan adanya pelabur luar yang mahu membangunkan taman tema, diharap Sabah juga mempunyai taman tema yang setanding dengan Desaru Coast dan Legoland Malaysia.

Jafry juga berharap ia mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada kerajaan negeri terhadap perancangan mereka untuk melabur di negeri ini.

“Ini adalah satu ruang dan peluang untuk Sabah kerana ia bukan sahaja mampu membawa lebih ramai pelancong tetapi juga akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus merancakkan lagi ekonomi Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|