Perkhidmatan awam negeri perlu ubah ‘mindset’, lebih bermotivasi naikkan imej kerajaan negeri – Hajiji

Perkhidmatan awam negeri perlu ubah ‘mindset’, lebih bermotivasi naikkan imej kerajaan negeri – Hajiji

Kota Kinabalu: Jentera perkhidmatan awam negeri digesa menjadikan tahun 2022 sebagai permulaan melakukan lonjakan perubahan ‘mindset’, cara proses kerja, komunikasi berkualiti dan lebih bermotivasi untuk menaikkan imej kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkhidmatan awam juga perlu tampil dengan idea lebih bernas dan berani serta lebih agresif untuk membuat penambahbaikan demi Sabah Maju Jaya (SMJ).

Hajiji menyampaikan Anugerah Khas Ketua Menteri kepada wakil Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia sempena Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (iSAS) Tahun 2021 di Menara Kinabalu.

Beliau berkata, ia sejajar dengan matlamat kerajaan Sabah yang memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan negeri yang mesra pelabur bagi menarik pelaburan asing untuk datang ke negeri ini.

“Kita mahu membawa lebih banyak pelabur datang dan memastikan urusan pelaburan itu dipermudahkan, manakala sistem penyampaian perkhidmatan awam juga perlu dipertingkatkan.

Hajiji bersama pemenang Anugerah Khas Ketua Menteri, Anugerah Khas Setiausaha Persekutuan Sabah dan Anugerah Khas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah sempena Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (iSAS) Tahun 2021 di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu.

“Langkah itu akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus dapat meningkatkan kemajuan ekonomi negeri,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (ISAS) 2021 dan melancarkan buku panduan Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, beliau berharap Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Persekutuan dapat aktif berbincang dan membuat kolaborasi strategik bagi menjadikan 2022 sebagai lonjakan perubahan di negeri ini.

Katanya, Sabah mesti setanding atau menjadi contoh tauladan yang positif kepada perkhidmatan awam negeri lain, manakala semua Ketua Jabatan Negeri atau Persekutuan mesti menjadi contoh utama dalam perubahan ‘mindset’ anggota perkhidmatan awam.

“Ketua Jabatan memainkan peranan yang amat signifikan dalam menerajui Hala Tuju Inovasi Agensi yang diterajui,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda utama dalam memperkasakan sektor awam Sabah.

Jelasnya, perkhidmatan awam adalah tunjang pembangunan negeri dan menjadi penggerak utama dalam intipati pelan pembangunan Halatuju Sabah SMJ 2021-2025 melalui modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pelaksanaan program iSAS 2021 telah membudayakan inovasi iaitu menggunakan pendekatan secara hibrid di mana kaedah bersemuka dan secara dalam talian dipraktikkan mengikut kesesuaian keadaan.

“Selaras dengan inisiatif Halatuju SMJ, saya menyokong padu pelaksanaan program inovasi ini dengan harapan sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam negeri dapat ditambah baik agar perkhidmatan terbaik dapat disampaikan dari semasa ke semasa dengan lebih pantas dan memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Sekiranya kita leka, malas dan sukar untuk mengadaptasi perubahan ini, maka kitalah yang akan hanyut serta tertinggal di belakang dalam arus digitalisasi pada hari ini.

“Sesungguhnya, dalam usaha membudayakan inovasi penyampaian perkhidmatan awam pada hari ini, penjawat awam perlu lebih peka dan responsif dengan keperluan rakyat.

“Tiada guna sekiranya idea berinovasi yang dicetuskan, tidak praktikal atau tidak selaras dengan kehendak sebenar pelanggan kita,” katanya.

Hajiji berkata, semua pihak harus menerima bahawa inovasi juga adalah suatu anjakan paradigma kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negara yang mampu berdaya saing sehingga di peringkat global.

“Sabah bukan lagi dalam era 1972, 1982 atau 1992, ayuh semua anggota perkhidmatan awam di Sabah, kita bangkit bersama dengan semangat 2022, untuk lebih berani ubah minda dan aktif untuk mencapai Sabah Maju Jaya”, tambahnya.

Beliau juga berharap program inovasi itu dapat dikembangkan skopnya dengan mengadakan Konvensyen Inovasi Negeri Sabah menerusi kerjasama dan penglibatan perkhidmatan awam negeri serta persekutuan yang akan menjadi pemacu kejayaan sektor awam Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|