Cubaan seleweng diesel digagalkan KPDNHEP Sabah

Cubaan seleweng diesel digagalkan KPDNHEP Sabah

Keningau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan kegiatan menyeleweng 8,300 liter diesel bersubsidi di sebuah stor tempat simpanan di daerah ini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, seorang lelaki yang dipercayai bertanggungjawab terhadap lokasi berkenaan turut ditahan bersama sebuah lori tangki, kenderaan ‘prime mover’ (kepala lori) dan peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan menyeleweng diesel.

Penguat kuasa KPDNHEP Sabah melakukan serbuan dan membuat pemeriksaan terhadap kegiatan penyelewengan diesel.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan itu hasil daripada risikan yang dilakukan selama seminggu di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan keterangan awal premis itu tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi terbabit.

“Modus operandi kegiatan ini adalah dengan membeli minyak diesel melalui pengisian ke tangki kenderaan prime mover dan seterusnya memindahkan minyak berkenaan ke dalam lori tangki yang terletak di stor terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi berkenaan.

“Dalam operasi ini, nilai keseluruhan rampasan lebih RM98,000 dan lelaki tempatan terbabit ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Siasatan turut dijalankan terhadap stesen-stesen minyak terlibat sama ada turut bersubahat dengan kegiatan ini,” katanya.

Georgie berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Georgie turut menegaskan bahawa kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|