Maximus ketuai rombongan kaji dokumen berkaitan MA63 di London

Maximus ketuai rombongan kaji dokumen berkaitan MA63 di London

Kota Kinabalu: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili akan mengetuai kumpulan pakar perundangan dan pengkaji untuk mencari rujukan yang berkaitan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di London.

Beliau berkata, kumpulan itu yang turut disertai pegawai kerajaan persekutuan dan negeri dijadual berlepas pada 19 Jun ini dan akan berada di London untuk melaksanakan tugasan berkenaan selama seminggu.

Katanya, kajian awal menunjukkan lebih 300 dokumen yang merujuk kepada hak negeri dan perkara berkaitan dengan MA63 tersimpan di Arkib Nasional, London.

“Wujud banyak salah faham, jadi inilah masanya untuk membetulkan rekod mengenai MA63. Ini kerana MA63 bukan sekadar satu perjanjian, jadi kita perlukan semua fakta dan angka untuk membolehkan kita membuat tuntutan yang menjadi hak kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata usaha yang dilakukan itu sangat penting bagi memastikan hak Sabah dan rakyatnya dilindungi.

Katanya, kerajaan Sarawak juga melakukan perkara yang sama enam tahun lalu.

“Akhirnya kita dapat melihat dokumen rahsia ini selepas ia tidak lagi diklasifikasikan sedemikian di Arkib Nasional, London.

“Kita berharap dapat gambaran yang lebih baik apa yang berlaku sebelum kemerdekaan kita pada 1963,” katanya.

Antara yang menyertai kumpulan berkenaan ialah Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan utusan khas Sabah ke Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, selain pegawai dari Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|