Kota Belud: Seorang lelaki nyaris rentung selepas treler dipandunya tiba-tiba terbakar, dalam kejadian di Kampung Ulu Kukut, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, lelaki terbabit berjaya menyelamatkan diri selepas menyedari awal api dipercayai mula tercetus di kabin pemandu lori berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.09 pagi.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, api sudah membakar sebahagian besar kabin pemandu lori treler berkenaan
“Operasi pemadaman terus dijalankan menggunakan dua aliran salur bantu dari jentera,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 6.57 pagi,
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan tindakan selanjutnya bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.21 pagi,” katanya.
-Deasoka