Kota Kinabalu: China Southern Airlines dan China Eastern Airlines dijangka menyambung semula operasi penerbangan terus ke Sabah seperti sebelum pandemik Covid-19 sejurus sempadan negara itu dibuka sepenuhnya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin berkata kedatangan pelancong asing terutama dari China penting bagi membantu merancakkan lagi aktiviti pelancongan negeri seperti sebelum pandemik Covid-19.
Katanya, pada 2018 Sabah menerima seramai 593,623 pelancong China, diikuti 598,566 orang pada 2019 sebelum kerajaan negeri mengenakan sekatan perjalanan berikutan penularan Covid-19.
“Oleh itu, kita berharap ramai pelancong dari China akan kembali melawat Sabah sekali gus membantu memulihkan sektor pelancongan tempatan dan meningkatkan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu pertemuan bersama Pengurus Besar China Southern Airlines, Eric Wang; Pengurus Besar China Eastern Airlines, Lu Jing; Pengurus Besar China Air, Yin Jian Min dan Xiamen Airlines, Gao Yashuang di Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah dan kakitangan Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Jafry berkata, beliau dimaklumkan pelancong China juga tidak sabar untuk pembukaan semula sempadan antarabangsa negara mereka.
“Antara reaksi positif yang diterima adalah pelancong China juga tidak sabar untuk pembukaan semula sepenuhnya sempadan antarabangsa mereka dan kembali melancong ke negeri Sabah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya pembukaan sempadan bergantung kepada situasi semasa Covid-19 di China.
-Deasoka