Kota Kinabalu: Pasar Pekan Inanam dipilih mewakili bandar raya ini dalam Kempen Pasar Awam Bersih Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2022 anjuran Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip, berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memilih pasar awam itu untuk dicalonkan dalam kempen berkenaan.
“Bagi memastikan kebersihan dan keteraturan Pasar Pekan Inanam, Sesi Libat Urus Penjaja Bersama Mayor telah diadakan pada 8 Jun 2022 dan seterusnya Program Gotong Royong di Pasar Pekan Inanam sempena Kempen Pasar Awam Bersih yang diadakan pada 23 Jun 2022 dan 13 Julai 2022.
“Skop pembersihan termasuklah pembersihan parit di dalam dan luar bangunan pasar serta keteraturan dalam pasar.
“DBKK mengucapkan terima kasih kepada semua penjaja Pasar Pekan Inanam, agensi-agensi luar dan Jabatan DBKK yang terlibat dalam menjayakan program-program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, pihaknya berharap objektif kempen itu tercapai sekali gus menjadikan Pasar Pekan Inanam sebagai salah satu pasar contoh di bandar raya Kota Kinabalu.
-Deasoka