GTA beri pilihan baharu kepada pengundi

GTA beri pilihan baharu kepada pengundi

Kota Kinabalu: Gerakan Tanah Air (GTA) memberikan satu pilihan baharu kepada pengundi tanah air, kata Ketua Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Sabah Nicholas Sylvester.

Katanya, ia sebagai pilihan ketika parti-parti yang memperjuangkan orang Melayu dan bumiputera semakin hambar dan tiada solusi baharu kepada masalah yang dihadapi rakyat serta negara pada masa ini.

“Ketika parti-parti lain sibuk berpolitik berusaha berebut siapa boleh menjadi Perdana Menteri, tetapi GTA fokus kepada menyelesaikan masalah utama yang dihadapi oleh rakyat dan negara ini.

“Masalah utama negara ialah kecurangan, ketidakcekapan dan kerakusan pemimpin tanah air sehingga kemungkinan besar kita akan kehilangan lagi aset negara termasuk tanah orang Melayu dan bumiputera serta wilayah negara.

“Suatu masa dahulu kehilangan adalah kepada penjajahan seperti wilayah selatan Thailand dan perbuatan keluar dari Malaysia seperti yang dilakukan oleh Singapura.

“Pada masa depan kemungkinan kehilangan wilayah adalah melalui tuntutan ke atas wilayah negara seperti tuntutan Filipina ke atas Sabah atau kerana aset-aset negara dibeli oleh negara-negara asing, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, tidak prihatin dan kurang cekap dalam pengurusan negara bukan hanya menyebabkan hilang wilayah dan aset negara tetapi akan memusnahkan masa depan anak dan cucu warga Malaysia di masa hadapan.

“Ini akan menyebabkan negara kita tidak lagi berdaya saing di peringkat global.

“Antara manifestasi perkara ini ialah nilai ringgit merosot, pelaburan asing tidak masuk ke negara kita secara yang lebih banyak lagi kerana kelemahan urus tadbir negara dan persepsi buruk terhadap persekitaran pelaburan di negara ini.

“Apatah lagi faktor-faktor yang dinilai penting untuk menilai keputusan untuk berniaga dengan di negara ini semakin teruk, contohnya apabila negara kita jatuh lagi ditangga indeks persepsi rasuah yang dijalankan oleh Transperancy International,” katanya.

Sehubungan itu, GTA menampilkan pemimpin yang berpengalaman luas diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamed yang pernah memimpin negara sehingga disebabkan kehebatan pengurusan ekonominya Malaysia mendapat jolokan Harimau Asia suatu masa dahulu.

“Selain itu, Gerakan Tanah Air juga menampilkan wajah-wajah baharu kepada arena politik negara daripada empat parti politik iaitu PEJUANG, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di samping NGO dan individu professional, agamawan, intelektual dan aktivis masyarakat yang banyak tampil menyertainya untuk membantu membangunkan kembali negara ke era yang lebih gemilang.

“GTA akan memberikan alternatif pengundi Melayu daripada berterusan memilih parti UMNO yang mempunyai imej yang sangat buruk pada masa ini kerana di antara kepimpinan utamanya yang jelas terlibat dengan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Bagi pengundi selain Melayu dan bumiputera GT menawarkan pilihan antara mengundi orang Melayu Islam yang bersih, cekap dan beramanah berbanding Melayu Islam kleprokrat, curang, lemah dan tidak berintegriti yang akan memastikan kemakmuran negara dikongsi bersama semua bangsa, agama dan keturunan, ” katanya.

Tambah beliau lagi, sejarah telah membuktikan Malaysia sangat berdaya saing apabila dipimpin oleh pemimpin yang bersih, cekap dan beramanah di zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Kemakmuran negara juga dirasai oleh semua kaum, termasuklah kaum Cina, India dan lain-lain. GTA memberikan peluang untuk mengulangi era tersebut,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA dan gagasan baharu itu bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|